Sedihnya...Bayi 4 Bulan Ganti Arwah Ibu Ambil Ijazah Ketika Majlis Konvokesyen

Kehadiran seorang bayi berusia empat bulan bagi mengambil gulungan ijazah arwah ibunya di sebuah universiti di Indonesia mengharukan keadaan.

sedihnya, bayi 4 bulan ganti arwah ibu ambil ijazah ketika majlis konvokesyen

Insiden menyayat hati itu berlaku ketika majlis konvokesyen Universiti Andi Djemma, Kota Palopo, Sulawesi Selatan, Indonesia yang mana bayi berusia empat bulan bernama Kimberly itu mewakili arwah ibunya, Citra Fadhila Arsyad yang meninggal dunia selepas melahirkannya.

Rata-ratanya, para graduan yang hadir majlis itu tidak dapat menahan emosi masing-masing apabila melihat bayi tersebut lengkap berjubah konvokesyen itu naik ke pentas untuk menerima gulungan ijazah milik arwah ibunya.

“Semalam (8 Ogos) seluruh bangunan menangis melihat anak ini datang mewakili orang tuanya,” kata Ketua Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Nurjannah kepada media tempatan.

“Yang menemani semalam semuanya nenek, yang menggendong ialah ibu arwah (Citra) di belakangnya adalah ibu kepada suaminya.”

Nurjannah menambah, ayah Kimberly juga sepatutnya menjadi graduan pada hari sama. Namun, bapanya mengalami kemalangan menyebabkan dia tidak dapat turut sama menyertai majlis tersebut.

Kata Nurjannah lagi, beliau berharap Kimberly akan menjadi anak yang soleh serta kebanggaan ibu bapa pada masa hadapan.

“Kita harap anak ini adalah pilihan Allah yang diberi ujian walaupun tidak faham apa-apa. Jadi kita harap anak ini (Kimberly) menjadi anak yang soleh, berguna, dapat meneruskan impian ibu dan membanggakan ibu bapanya,” kata beliau.

Sementara itu, ibu Kimberly, Allahyarham Citra, terkenal sebagai seorang yang periang, baik hati, suka bergaul dan bijak. Beliau bagaimanapun meninggal dunia ketika melahirkan Kimberly di hospital pada satu ketika dulu.

Arwah Citra difahamkan hanya mengetahui dirinya mengandung ketika kandungannya berusia tujuh bulan.

Arwah kemudian melahirkan bayinya itu ketika ia masih berusia lapan bulan dalam kandungan dalam keadaan pramatang akibat mengalami keracunan ketika kehamilan.

Tetapi malangnya, arwah juga meninggal dunia sejurus selepas melahirkan bayinya itu.

“Bulan kelapan dia bersalin, dia kata dia keracunan kehamilan. Jadi masa bersalin, arwah meninggal Mac lalu, anak dia terselamat.”

 

Sumber: detik