Pelakon jelita Korea, Yoon Eun Hye membuka cerita lama mengenai hubungannya bersama bintang Running Man, Kim Jong Kook.
Menerusi rancangan Ask Us Anything, Yoon Eun Hye yang tampil sebagai tetamu jemputan ditanya tentang keakrabannya dengan Kim Jong Kook ketika mereka berdua membintangi bersama rancangan realiti, X-Man sekitar tahun 2003 hingga 2007 dulu.
Akui pelakon berusia 36 tahun itu, hatinya pernah berasa berdebar-debar terhadap Kim Jong Kook ketika mereka menjalani penggambaran buat rancangan tersebut secara beramai-ramai.
“Saya mendapat banyak pertanyaan sekiranya kami berdua benar-benar bercinta,” katanya.
“Bahkan ibu bapa saya bertanya kepada saya apakah hubungan itu benar. Saya rasa ibu bapa saya berharap ia untuk menjadi kenyataan,” kongsi pelakon yang terkenal dengan drama Princess Hours dan Coffee Prince itu.
Lanjutnya, salah seorang pengacara Ask Us Anything iaitu Kang Ho Dong yang turut menerajui bersama rancangan X-Man, pernah menawarkannya hadiah sekiranya hubungan mereka adalah benar.
“Dia (Kang Ho Dong) memberitahu saya jika kami berkahwin, dia akan memberi kami 10 juta won (RM 36,712) sebagai hadiah. Dia juga mengatakan dia akan memberi kami tali pinggang yang dimenanginya ketika menjadi juara gusti Korea. Saya memang peminat gusti ketika itu dan saya sangat menginginkannya,” katanya.
Bagaimanapun, Yoon Eun Hye tidak menyatakan jawapan sekiranya dia dan bintang Running Man itu benar-benar pernah bercinta.
Sumber: [1]