Yoon Chan Young Akui Masih Biasakan Diri Terima Populariti Selepas Bintangi ‘All of Us Are Dead’

Teraju utama drama fenomena Korea, All of Us Are Dead, iaitu Yoon Chan Young mengaku bahawa dia masih cuba untuk membiasakan diri dengan populariti yang dirangkulnya selepas membintangi drama tersebut.

yoon chan young akui masih biasakan diri terima populariti selepas bintangi ‘all of us are dead’

“Saya masih tidak percaya. Saya gembira kerana saya menjadi sebahagian daripada sesuatu yang disukai orang ramai. Saya sangat bersyukur, dan setiap hari kelihatan sangat berbeza.

“Saya dapat mengalami sesuatu yang baru, dan saya memikirkan semua kenangan indah yang ada di set penggambaran,” luah pelakon berusia 20 tahun itu.

Yoon turut berkongsi bagaimana dia dipanggil untuk menjadi sebahagian daripada barisan pelakon drama fenomena itu.

Menurut Yoon yang pertama kali memulakan karier anak seninya sebagai seorang pelakon kanak-kanak, dia sempat dihadapkan dengan satu fasa yang sukar dalam hidupnya sebelum berjaya mendapatkan watak yang akhirnya melonjakkan namanya itu.

“Ia seperti filem. Saya sedang membuat persediaan untuk peperiksaan kemasukan universiti dan melalui fasa yang sukar. Saya berasa seperti saya tidak cukup baik, tetapi saya mahu melakukan yang terbaik, jadi saya berlatih tanpa henti.

“Saya memohon kemasukan awal untuk beberapa universiti, tetapi keputusannya tidak bagus. Saya kecewa dan menyalahkan diri sendiri, tetapi saya bangun semula dan kembali berlatih. Ketika ia berlaku, saya terdengar mengenai uji bakat untuk ‘All of Us Are Dead’.

“Saya fikir ia akan menjadi peluang yang baik untuk menguji diri saya sendiri. Pengarah ingin berjumpa dengan saya selepas mendengar pelakon lain bercakap tentang bagaimana saya bergaul baik dengan pelakon lain yang sebaya dengan saya. Selepas uji bakat selama 30 minit, pengarah itu berkata, ‘Saya rasa mereka betul.’

“Saya mendapat panggilan dua bulan kemudian, dan saya sangat gembira. Saya juga diterima di Universiti Hanyang, jadi ia adalah tahun yang sangat bermakna bagi saya,” katanya.


Sumber: [1]