Siapa sangka suatu pertemuan rawak antara seorang lelaki dengan gelandangan mampu membuahkan satu persahabatan yang cukup manis.
Perkara itu terjadi pada seorang pemuda bernama Phillip Vu, 24, yang mana ketika dia menjelajah Amerika Syarikat dengan kenderaannya, dia didatangi seorang lelaki bernama Mike yang menawarkan untuk membersihkan tingkap keretanya.
Phillip pada awalnya menolak tawaran tersebut.
Namun, apabila dia melihat Mike masih menunggu sendiri selama 30 minit, Phillip kemudian membelikannya sandwic dan mengajaknya masuk ke adalam kereta agar mereka dapat makan bersama.
Apabila pasangan tersebut menyedari bahawa mereka mempunyai banyak persamaan, Phillip mula terfikir untuk merekodkan siri video yang dimuat naik ke YouTube dan Tik Tok.
Kesemua video tersebut kemudiannya menjadi viral dengan pantas dan ditonton orang ramai berkali-kali.
Tidak lama selepas itu, para penonton mula mengambil langkah untuk menyumbangkan wang kepada Mike demi membantunya untuk menjalani kehidupan baru.
Dalam sebuah video yang merekodkan Phillip menyerahkan sampul surat berisi wang sebanyak £725 (RM4, 151) kepada Mike hingga menyebabkan warga gelandangan itu menerbitkan air mata.
Katanya, dia bakal menggunakan wang tersebut untuk mendapatkan dirinya kad pengenalan diri dan membeli beberapa set but.
Selain itu, dia juga berkata bahawa dia akan mula mencari pekerjaan dan menolong sesiapa sahaja yang memerlukan.
Namun, kegembiraan manis itu tidak sekadar berhenti di situ.
Phillip kemudiannya mendedahkan bahawa Mike sebenarnya telah menerima sumbangan lebih daripada £12,000 (RM687, 073) daripada orang ramai yang mendermakan wang kepadanya sekali gus membolehkan dia memulakan kehidupan baru dengan menyewa rumah sendiri.
Sementara itu, Phillip pula telah tinggal di luar dengan keretanya selama lapan bulan untuk menjelajah serata Amerika.
Namun pertemuannya dengan Mike membuatkannya sedar betapa mereka berdua memiliki begitu banyak persamaan yang tidak pernah terbayangkan olehnya.
“Saya fikir kami merupakan dari dua sisi duit syiling yang berbeza,” ujar Phillip.
“Kami berdua berasal dari latar belakang yang bergelut dan pada satu ketika saya memutuskan untuk berhubung kembali dengan keluarga saya manakala tidak bagi Mike. Kami melihat persamaan daripada kisah mengenai perpecahan itu.
“Saya seolah-olah sedang menjalani impian saya, dan dia pula memberitahu bahawa impiannya adalah untuk pergi melancong suatu hari nanti.
“Dia bersusah-payah untuk menjalani kehidupan seharian serta berusaha untuk menyokong kekasihnya manakala saya pula tinggal di luar bersama kereta untuk bersantai.”
Mengakui bahawa dia tidak pernah menyangka bahawa kejadian sebegini akan berlaku dalam hidupnya, Phillip juga berkongsi bahawa dia telah meminta khidmat bantuan penasihat kewangan untuk membantu Mike dari segi penggunaan wang dalam jangka masa panjang.
Selain itu, Mike juga difahamkan telah memiliki telefon bimbit agar kedua-dua mereka dapat terus berhubung dengan mudah antara satu sama lain.
Sumber: [1]