Sweetnya! Video Lamaran Pasangan Hebat Atlet Renang China Di Olimpik Rio Kembali Tular

Dalam kehangatan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang masih lagi berlangsung, video lamaran pasangan hebat atlet China ketika edisi Rio 2016 kembali tular di media sosial.

sweetnya! video lamaran pasangan hebat atlet renang china di olimpik rio kembali tular

Seperti dalam filem, menerusi video yang kini telah ditonton lebih 9 juta kali di YouTube itu, terlihat pasangan atlet dari China, yang dikenali sebagai He Zi dan Qin Kai, memeterai cinta mereka di atas podium Sukan Olimpik.

Ketika itu, He Zi baru sahaja selesai menerima pingat perak bagi acara akhir tiga meter papan anjal wanita.

Namun, tanpa pengetahuannya, dia bakal menerima satu kejutan lagi daripada teman lelakinya yang turut bertanding dalam temasya tersebut.

sweetnya! video lamaran pasangan hebat atlet renang china di olimpik rio kembali tular

Ketika itu, Qin Kai yang turut merangkul pingat gangsa bagi acara tiga meter papan anjal lelaki pada minggu sebelumnya, mengambil peluang untuk melamar kekasihnya, dengan melutut di atas podium sambil menghulurkan cincin pertunangan.

Biarpun wajahnya jelas kelihatan gementar, namun, kelakuan bersahaja Qin Kai membuatkan orang ramai di sekeliling bertukar menjadi teruja dan menjerit bagi memberi sokongan kepadanya, dan ternyata, usaha tersebut tidak sia-sia. Kerana He Zi mengatakan ya.

Tidak lama selepas lamaran tersebut, He Zi mengaku yang dia tidak sangka bahawa kekasihnya itu akan memilih untuk melamar pada hari tersebut.

“Dia mengatakan banyak janji, namun yang paling menyentuh hati saya ialah saya fikir inilah lelaki yang boleh saya percayai seumur hidup saya,” kongsinya yang mana pada ketika itu, mereka telah pun bercinta selama enam tahun.

Dalam satu video Q&A yang pernah dimuat naik di saluran YouTube Olympics, Qin Kai mengatakan dia telah lama merancang untuk melamar kekasihnya sebegitu cara; dan ketika ditanya kalau-kalau kekasihnya itu mengatakan tidak, Qin Kai dengan tenangnya menjawab: “Saya akan tetap melayannya dengan baik dan yakinkannya untuk berkahwin dengan saya.”

Pasangan tersebut kemudian mengikat pertalian suami isteri mereka pada 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

 

Sumber: [1]