Kerana merindukan pemiliknya yang sudah meninggal dunia, seekor anjing menghabiskan hari-harinya di pantai di Punta Negra, Peru menunggu tuannya yang dahulu merupakan seorang nelayan, kembali dari perjalanan memancingnya.
Kisah menyayat hati Vaguito itu dikongsi oleh seorang wanita Peru bernama Jolie Mejía yang kebetulan berjalan di pantai tersebut, apabila dia terlihat anjing itu merenung tajam ke arah lautan. Ia tersebut kelihatan bersih dan kenyang, justeru, Jolie beranggapan bahawa tuannya akan kembali untuk mendapatkannya.
Dia menghabiskan masa membelai dan bercakap dengannya, tetapi tiada sesiapa yang datang, sehingga munculnya seorang lelaki yang berlalu di kawasan sama, yang perasan akan raut prihatin pada wajah wanita itu lalu menceritakan kisah sedih haiwan tersebut.
Rupa-rupanya, Vaguito terkenal dan disayangi semua orang di kawasan tersebut. Ia kini tinggal di sebuah rumah tidak jauh dari pantai itu, dengan seorang wanita yang menjaganya dengan baik.
Tetapi, dia pernah menjadi milik seorang nelayan yang meninggal dunia di laut beberapa tahun lalu.
Anjing itu, yang biasa menemani tuannya ke mana-mana, melihat dia berlepas pada perjalanan memancing terakhirnya dan masih menunggu dia pulang sehingga hari ini.
“Dia memberitahu kami bahawa anjing itu telah tinggal bersama seorang nelayan yang meninggal dunia suatu ketika dahulu, dan sejak itu, dia datang ke sini setiap hari dan melihat laut, menunggu dia kembali,” tulis Jolie menerusi satu entri di Facebook yang telah menjadi tular.
Kongsinya lagi, lelaki itu memberitahu Jolie bahawa semua orang di kawasan itu tahu mengenai kisah tragis Vaguito dan ia selalu pulang ke rumah selepas merenung lautan selama beberapa jam, tetapi ia selalu kembali keesokan harinya.
Sumber: [1]