Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal menyumbangkan pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 setelah tersingkir dalam pusingan kalah mati terhadap wakil dari China, Chen Long malam tadi.
Akui pemain berusia 23 tahun itu, ramai peminat sukan tanah air menyandarkan harapan padanya untuk menghadiahkan negara pingat pada Sukan Olimpik kali ini.
“Sekarang ini lockdown, ramai yang tidak boleh keluar atau pergi ke mana-mana, asyik tengok televisyen dan beri sokongan kepada kita ( atlet negara). Saya memohon maaf kerana tidak dapat menghadiahkan pingat seperti diharapkan,” luahnya.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo itu, Zii Jia tumpas kepada pemenang pingat emas edisi Rio 2016, Chen Long, biarpun pada awalnya mempamerkan rentak permainan yang bertenaga.
Zii Jia bermula dengan cemerlang di set pertama dengan kemenangan 21-8, namun tumpas 19-21 di set kedua sebelum hilang tumpuan pada set penentuan apabila kecundang 5-21.
Jelasnya lagi, yang membezakan beliau dan lawannya, Chen Long hanyalah pengalaman yang dimiliki masing-masing.
“Pada set pertama, saya menguasai keseluruhan permainan. Tetapi pada set kedua, saya banyak membuang mata dan cuba mengejar untuk mendapatkan mata bagi meraih kemenangan penting itu tetapi gagal.
“Bermula set ketiga, saya hilang fokus. Dalam situasi itu, Chen Long dengan pengalamannya dapat mengawal keadaan. Banyak lagi yang perlu saya belajar,” ujarnya.
Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengatakan kekalahan tersebut bukanlah titik penamat kepada kariernya. Sebaliknya, beliau akan bangkit bagi meraih kejayaan demi kejayaan dalam pertarungan lain yang mendatang.
“Tidak perlu fikir banyak. Saya tidak menyesal, tiada alasan...seperti yang saya katakan, ini Olimpik pertama saya, dan saya perlu banyak berusaha dan benar-benar bersedia pada kejohanan-kejohanan akan datang,” tambahnya.
Sumber: [1]