Pernah Membesar Dalam Keluarga Susah, Seo In Guk Kongsi Ibu Pernah Kutip Surat Khabar Lama

Penyanyi dan pelakon Korea Selatan, Seo In Guk berkongsi mengenai kesukaran yang dilalui ibunya ketika membesarkannya.

pernah membesar dalam keluarga susah, seo in guk kongsi ibu pernah kutip surat khabar lama

Menerusi satu wawancara dalam talian yang diadakan baru-baru ini sempena pelancaran filem terbarunya, Pipeline, pada 26 Mei lalu, Seo In Guk ditanya mengenai siapakah manusia contoh dalam hidupnya.

Dedah Seo In Guk, gerangan tersebut tidak lain tidak bukan ialah ibunya sendiri.

Jelasnya, “Ibu saya mengalami kesukaran sejak saya kecil. Sudah tentu, ayah saya juga merupakan teladan saya namun alasan saya memilih ibu saya adalah kerana dia mengalami begitu banyak kesulitan mengutip surat khabar lama demi membesarkan saya.”

Tambahnya, “Biarpun setelah saya debut, dia meneruskan pekerjaan tersebut. Saya menyuruhnya berhenti dan berehat dengan selesa, namun dia mengatakan dia tidak mahu kerana jika dia berehat dan berhenti bekerja, tubuhnya akan sakit dan memberitahu saya bahawa dia gembira bertemu dengan orang baru.”

Luah Seo In Guk, setelah mendengar apa yang diperkatakan ibunya itu, dia tidak punya pilihan selain menghormati keputusannya.

Malahan, dia turut berkata bahawa dia sebenarnya mempunyai persamaan dengan wanita yang melahirkannya itu.

“Saya rasa saya menyerupai ibu saya dalam aspek itu. Saya tidak boleh berhenti sebentar atau berehat. Sebaik sahaja saya melakukan sesuatu, saya mahu terus mengerjakannya. Jadi, dia adalah manusia contoh buat saya.”

Dalam perbincangan lain, Seo In Guk juga dikenali sebagai salah seorang selebriti di Korea Selatan yang berbakti kepada orang tuanya, yang mana dia dikatakan pernah mendirikan kafe khusus untuk ibunya di kampung halaman, Ulsan.

 

Sumber: [1]