Seorang pemain pertahanan pasukan bola sepak negeri Kedah, Azmeer Yusof berkongsi pengalamannya tentang kewangan.
Sebelum ini, ketika dia masih muda dan dilimpahi dengan gaji, Azmeer sangat suka dan menggilai kereta serta berbelanja mewah. Beliau pernah membeli tujuh buah kereta dan memohon lima kad redit. Namun, sehingga umur 30 tahun, beliau masih tidak dapat menyelesaikan semua hutang.
"Saya pernah membeli tujuh kereta dan ketika umur mencecah 30 tahun, saya masih tidak dapat selesaikan hutang. Saya rasa seperti manusia paling bodoh di dunia kerana dengan gaji dari 2009 hingga 2019, saya sepatutnya selesaikan semua hutang itu tetapi saya gagal.
"Antara perkara bodoh yang saya buat adalah memohon sehingga lima kad kredit, buat pinjaman peribadi dan beli kereta Satria Neo, Honda City, Mitsubishi Lancer, Audi, Honda FD, Vellfire dan D-Max. Saya cuba beli rumah pada 2014 tetapi pinjaman tidak lepas kerana pinjaman peribadi, kad kredit, kereta dan lain lain.
Semenjak daripada itu, dia sedar akan kepentingan menyimpang wan dan berbelanja dengan cermat.
"Selepas itu, saya berjanji untuk menjual semua kereta kecuali Vellfire kerana saya niatkan untuk kegunaan ibu bapa. Saya selesaikan hutang kad kredit dan juga pinjaman peribadi. Sebelum ini, komitmen saya mencecah RM10,000 sebulan, kini ia semakin sikit dan tidak memeningkan kepala kalau gaji tidak masuk atau apa-apa terjadi pada karier saya.
"Apa yang berlaku semua ini juga, Allah 'menghadiahkan' rumah sendiri kepada saya di Alor Setar. Semoga menerusi sebuah rumah ini, saya dapat kembangkan lagi untuk membeli membeli seberapa banyak rumah dengan izin Allah," katanya.
Pemain yang berusia 30 tahun ini berpesan kepada semua pemain yang masih muda dan menikmati gaji supaya jangan berbelanja terlalu boros. Beliau juga berpesan agar mereka memikirkan soal masa hadapan jika sesuatu perkara berlaku.
"Jangan mohon kad kredit kalau tidak disiplin untuk membayar. Jangan mohon pinjaman peribadi dan simpan duit dalam Unit Amanah, Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau tabung. Jangan beli kereta dulu sebelum beli rumah kecuali beli kereta terpakai atau murah.
"Kurangkan membeli belah benda yang mahal tetapi tidak digunakan dan beli emas. Insurans juga penting sebagai perlindungan dan berhenti merokok serta beli rumah," nasihat Azmeer.