Kasih antara suami isteri yang kekal terjalin ibaratnya satu anugerah bagi setiap pasangan yang berkahwin.
Baru-baru ini, tular di TikTok satu video yang memperlihatkan sepasang suami isteri menunggang basikal bersama.
Video tersebut dirakamkan sendiri oleh majikan kepada sang isteri, sehingga berhasil membuat orang ramai menitis air mata dan tular di platform perkongsian video itu dengan lebih 3 juta tontonan setakat ini.
Tulis majikan yang juga pengguna TikTok itu, “Suami yang setia selama 28 tahun selalu hantar jemput kerja dengan basikal.”
Video tersebut kemudian dibanjiri dengan banyak komen daripada pengguna lain yang rata-ratanya meluahkan perasaan tersentuh melihat cinta yang dikongsi antara pasangan tersebut biarpun hingga ke usia lanjut mereka, serta meminta agar majikan terbabit dapat menghadiahkan pekerjanya itu motosikal.
Majikan tersebut yang bernama Debby Inne Susanto itu kemudian dihubungi media tempatan.
Kata Inne, dia memiliki sebuah kedai di Jawa Tengah dan wanita yang dijemput suaminya dengan basikal itu merupakan salah seorang pekerja di kedainya.
“Isterinya adalah pekerja di kedai kami. Namanya Puan Mulyani dan dia bekerja sebagai jurujual. Dia telah bekerja selama 28 tahun. Sampai hari ini, saya melihat suaminya setipa hari menghantar dan menjemputnya pulang, abang Trimo selalu setia menjemputnya setiap hari dengan basikal,” kata Inne.
Akui Inne lagi, dia kagum melihat kemesraan yang terjalin antara pasangan tersebut.
Sebagai tambahan, di hari kejadian yang mana dia merakamkan video yang tidak semena-mena tular itu, dia sebenarnya bertemu dengan pasangan tersebut secara tidak sengaja ketika dalam perjalanan ke kedai.
“Malam tadi saya berbual dengan Pual Mulyani. Saya kata, ‘wah, Puan Mul, ini viral’. Puan Mul ketawa, katanya, banyak orang memberitahunya, termasuk anak-anak kecil yang tinggal berhampiran rumahnya,” katanya.
“Saya melihat mereka berdua sangat sederhana. Sentiasa bersyukur dan menerima apa jua keadaannya. Mereka banyak mengajar saya tentang makna syukur,” ungkap Inne lagi.
Sumber: [1]