Lelaki Bina Bilik Tidur Untuk Kucing Kesayangan, Siap Ada TV!

Demi hiburan untuk kucing sendiri, seorang pencinta kucing bernama Bryan Davies sanggup membina sebuah bilik tidur kecil khusus untuk kucing tersayangnya.

lelaki bina bilik tidur untuk kucing kesayangan, siap ada tv!

Beberapa bulan lalu, Bryan dan keluarganya membuat keputusan untuk membela seekor ‘rescued cat’ yang diberi nama Wyatt.

Setelah sekian lama membela Wyatt, keluarga tersebut kemudiannya mendapati bahawa ia gemar menonton burung dan tupai dari tingkap.

Namun, musim sejuk yang melanda menyebabkan haiwan tersebut jarang mengunjungi rumah keluarga tersebut hingga akhirnya membuatkan Bryan terfikir untuk menjadi kreatif demi hiburan Wyatt.

Pada mulanya, Bryan sering mencari koleksi video burung di internet dan menunjukkannya kepada Wyatt di tablet.

“Kami beralih ke YouTube, dan ia menyukainya,” ujar Bryan.

Wyatt malahan, kini punya TV peribadinya yang tersendiri.

Tetapi, Bryan bertekad untuk memberikannya lebih banyak lagi, iaitu bilik kecilnya sendiri agar Wyatt dapat berehat sambil menonton koleksi video burung itu.

Segalanya bermula apabila dia merenovasi rumahnya baru-baru ini, Bryan kebetulan terlihat ruang yang tidak digunakan di sebalik dinding berhampiran bilik tidurnya.

Dia kemudiannya terdetik dalam hati untuk menjadikan ruang kosong itu sebagai bilik tidur kecil untuk Wyatt.

Sebaik Bryan selesai menukarkan ruang kosong itu kepada bilik tidur milik Wyatt, dia malahan siap mendekorasikan ruang terbabit dengan katil mini dan beberapa karya seni agar Wyatt terhibur duduk di bilik barunya itu.

lelaki bina bilik tidur untuk kucing kesayangan, siap ada tv!

Untuk sentuhan terakhir, Bryan memasang TV milik Wyatt itu pada dinding bilik kucingnya itu agar ia dapat menonton rancangan kegemarannya, iaitu video-video haiwan, dengan selesa di ruang kecilnya sendiri.

Lebih menggembirakan, Bryan juga berkongsi bahawa Wyatt amat menyukai bilik tidurnya dan kini banyak menghabiskan masanya di sana.

“Dia menghabiskan banyak waktu di sana, meminta untuk menonton rancangannya sebelum tidur siang,” ujar Bryan.

Tambahnya lagi, “Ia (Wyatt) benar-benar menikmatinya seperti kanak-kanak yang akhirnya mendapat bilik sendiri.”

Bagi Bryan, usaha yang dilakukannya itu amat berharga kerana keluarganya amat menyayangi Wyatt.

“Ia adalah sahabat kami,” kata Bryan.

 

Sumber: [1]