Kwang Soo Tepis Tuduhan Tinggalkan Running Man Kerana Ingin Kembali Berlakon, 'Saya Rasa Sama Je...'

Bekas bintang Running Man, Lee Kwang Soo berkongsi mengenai perkembangan terbarunya selepas meninggalkan program tersebut menerusi satu temu bual yang diadakan bersamanya baru-baru ini.

kwang soo tepis tuduhan tinggalkan running man kerana ingin kembali berlakon, 'saya rasa sama je...'

Kwang Soo yang mengalami kecederaan pada pergelangan kaki kanannya akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu mengatakan dia tekad untuk kembali semula ke dunia hiburan sebaik selesai menjalani rawatan.

“Saya tidak akan berehat lama untuk kembali beraksi semula. Saya akan menjalani pembedahan bagi mengeluarkan pin logam minggu depan dan seterusnya saya akan menjalani rawatan pemulihan. Ia bagaimanapun tidak akan mempengaruhi kehidupan seharian saya.

“Saya agak malas sebelum ini mengenai rawatan pemulihan, tetapi kali ini saya akan memberi fokus terhadapnya.”

Menjawab persoalan orang ramai mengenai keputusannya meninggalkan Running Man yang dianggap kerana ingin memberi laluan kepada dunia lakonan, akui Kwang Soo dia tetap dirinya yang dulu walau apa pun.

“Saya tidak pasti pula mengenai itu. Saya rasa saya sama seperti dulu. Saya tidak merasakan tekanan berkenaan ‘kembali ke pekerjaan saya yang sebenarnya’,” katanya yang memaksudkan dunia lakonan, tempat beliau pertama kali menceburi bidang hiburan.

“Tidak ada yang berubah baik ketika saya bersama Running Man dan ketika saya tidak lagi bersamanya. Saya tidak merasakan tekanan untuk menunjukkan sisi diri saya yang berbeza hanya kerana saya bukan sebahagian daripada Running Man lagi.

“Saya hanya mahu terus melangkah seperti mana yang saya lakukan sehingga sekarang dan memberikan lakonan terbaik sebaik yang saya mampu,” tambahnya.

Ketika ditanya sekiranya dia akan muncul kembali dalam Running Man sebagai tetamu pada episod-episod akan datang, Kwang Soo akui, ia mungkin akan menjadi sedikit pelik baginya.

“Saya rasa ia akan menjadi lucu, tetapi saya rasa ia juga akan terasa pelik. Sudah tentu sangat berbesar hati untuk melihat mereka lagi, seperti pulang ke kampung halaman, tetapi saya tidak tahu.

“Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Saya rasa ia akan terasa sangat berbeza jika saya kembali sebagai tetamu dan bukannya sebagai ahli,” katanya.

 

Sumber: [1]