Sememangnya, Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diadakan pada tahun ini menarik begitu banyak perhatian segenap masyarakat dari serata dunia dengan kisah-kisah inspirasi yang ada kalanya membuatkan orang ramai tersenyum, kalau bukan menangis terharu.
Tidak ketinggalan daripada senarai tersebut ialah salah seorang atlet menembak China yang berjaya memenangi pingat emas di temasya tersebut pada baru-baru ini.
Tidak hanya gah dengan kemenangannya, menariknya, penampilan atlet menembak China yang bernama Yang Qian ini turut menjadi tumpuan ramai.
Manakan tidak, Yang Qian yang memenangi dua pingat emas dalam temasya tersebut sering kali dilihat memakai klip rambut warna kuning yang bercorak itik ketika berentap dalam acara senapang udara 10 meter yang dipertandingkannya.
Gara-gara itu, klip rambut yang digayakannya segera menjadi tular serta sangat diminati ramai.
“Sebaik sahaja Yang Qian memenangi pingat emas pertama, kami melancarkan laman web pemasaran dengan poster berserta gambarnya dan tulisan ‘meraikan Yang Qian memenangi kejuaraan’. Kami juga menurunkan harga sedikit untuk sementara waktu.
“Sejam selepas pautan dikeluarkan, ribuan klip rambut itik itu habis terjual. Lebih dari 10,000 helai terjual dalam masa setengah hari,” kata Hu Jungang, pemilik kedai dalam talian yang menjual klip rambut itik itu.
Memetik laporan South China Morning Post lagi, seorang peniaga di Pasar Perdagangan Antarbangsa Yiwu, iaitu Mao Xuxia, klip rambut itik itu sebenarnya telah dijual sejak tiga tahun lalu.
Namun, tahap penjualannya sebelum itu tidak begitu memuaskan, sehinggalah ia tular berikutan kemenangan Yang Qian.
“Dahulu, saya hanya dapat menjual hingga 100 klip rambut dalam sehari. Sekarang, penjualan harian melebihi 10,000,” jelas Mao.
Hasil pencarian, klip rambut yang digayakan Yang Qian itu dijual pada harga sekitar RM2 dalam talian.
Sebagai tambahan, berdasarkan data penjualan yang diperoleh daripada platform e-dagang, Taobao, carian berkaitan klip rambut itik yang digayakan Yang Qian meningkat kepada 420%.
Tidak hanya klip rambut terbabit, malahan, tali leher bercorak lobak yang pernah digayakan Yang Qian turut sama mengalami peningkatan carian sebanyak 210%.
Nama Yang Qian menjadi semakin dikenali setelah menjadi atlet pertama yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Dalam temasya tersebut, Yang Qian mengalahkan Anastasiia Galashina dari Pasukan Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC) sekali gus mencatat skor terbaik dalam acara senapang udara 10 meter wanita pusingan akhir di Asaka Shooting Range, Tokyo pada hari pertama perlawanan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Tiga hari selepas memenangi pingat emas pertamanya, Yang Qian kemudian mengungguli lagi acara sama tapi bagi kategori pasukan campuran bersama pasangan Yang Haoran yang mana mereka berjaya merangkul pingat emas bersama.
Sumber: [1]