Khairul Aming Derma RM10,000 Hasil Jualan Sambal Nyet Kepada Tabung Palestin

Personaliti media sosial, Khairul Aming yang menempa populariti menerusi video-video masakannya terus menjadi sebutan warganet, manakan tidak, ramai sahaja yang begitu sukakan produk pertama keluarnya, iaitu Sambal Nyet.

khairul aming derma rm10,000 hasil jualan sambal nyet kepada tabung palestin

Bayangkan sahaja, dalam tempoh tiga bulan sejak dia melancarkan Sambal Nyet, Khairul Aming berjaya mencapai hasil jualan sebanyak RM1 juta!

Namun, disebabkan permintaan yang tinggi, sering sahaja produk keluarannya itu kehabisan stok sehingga menyebabkan ramai pengikutnya berebut untuk membeli dan mencuba produk terhangat di pasaran itu.

Terbaru, menerus akaun Twitter miliknya, Khairul yang dilihat turut sama lantang dalam memperjuangkan mengenai kekejaman rejim Zionis Israel terhadap Palestin mendedahkan bahawa sebahagian daripada hasil jualan daripada sambalnya itu turut didermakan kepada tabung amal Palestin.

Ciapnya di Twitter, “RM10,000 dari jualan sambal yang sebelum ni akan kami dermakan ke tabung Palestin.

“Diharapkan sedikit sebanyak (sumbangan itu) boleh meringkankan beban saudara di sana,” tulisnya.

Menerusi bebenang tersebut juga, Khairul turut memuat naik foto resit sumbangan berjumlah RM10,000 itu sebagai bukti sumbangannya.

 

Sumber: [1]