Kenali Wanita Pertama Yang Pecah Tradisi Harvard

Tahukah anda bahawa wanita pertama yang berjaya memasuki Universiti Harvard berasal dari Asia Tenggara?

kenali wanita pertama yang pecah tradisi harvard

Fe del Mundo ialah seorang wanita kelahiran Filipina, dan merupakan figura yang cukup bersejarah dalam bidang pediatrik.

Sebelum bercerita dengan lebih lanjut, buat mereka yang tertanya-tanya apa itu bidang pediatrik, pediatrik ialah satu cabang perubatan berkaitan bayi dan kanak-kanak.

Okay, kita sambung semula dengan kisah Fe del Mundo!

Pada 1936, Fe del Mundo menjadi wanita pertama yang diterima masuk Universiti Harvard, iaitu kira-kira dua tahun selepas universiti berprestij itu membuka kemasukannya kepada golongan wanita dan tidak menghadkannya hanya kepada kaum lelaki.

Cerita mengenai Fe del Mundo memecah tradisi Harvard yang pada awalnya hanya tertakluk kepada kemasukan pelajar lelaki bermula dengan kehidupan awalnya yang mana beliau dihadapkan dengan kematian tiga daripada lapan adik-beradiknya yang meninggal dunia ketika mereka masih bayi.

Kakak perempuannya, yang pernah bermimpi untuk menjadi seorang doktor meninggal dunia pada awal usia akibat radang apendiks.

Fel de Mundo sempat bergelar pelajar di Harvard selama dua tahun yang mana dalam biografi miliknya, beliau menyatakan pertama kali ia sampai di situ, Fel de Mundo diberikan tempat tinggal di asrama lelaki.

Beberapa tahun kemudian, beliau menerima gelaran Master pula dari Boston University School of Medicine dalam bidang bakteriologi pada 1940.

Sekembalinya beliau di Filipina, Fel de Mundo menjadi sukarelawan untuk International Red Cross.

Sepanjang kariernya bergelar seorang pediatrik, Dr Del Mundo telah dikreditkan dengan pelbagai revolusi perubatan di Filipina.

Misalnya, mendirikan hospital pediatrik pertama di negara terbabit termasuklah The Children’s Medical Center Foundation pada 1957 yang memberikan rawatan perubatan khususnya kepada masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai insurans.

Selain itu, beliau juga merupakan manusia yang bertanggungjawab dalam mempelopori rawatan untuk kanak-kanak yang mengalami penyakit kuning, serta pernah terlibat dalam membuat satu siri kajian dan penemuan yang membawa kepada ciptaan alat melegakan penyakit kuning dan penambahbaikan inkubator.

Di samping itu, Dr Del Mundo juga pernah memimpin Jabatan Pediatrik di Far Eastern University dan kejayaannya dalam penyelidikan mengenai penjagaan bayi termasuklah penemuan kaedah yang kini dipraktikkan di serata dunia, iaitu diet BRAT yang terbukti berjaya menyembuhkan cirit-birit.

Sepanjang kariernya selama 70 tahun, Dr Del Mundo telah menerbitkan lebih daripada seratus artikel dan laporan mengenai berbagai penyakit, serta buku asas perubatan yang digunakan dalam pelbagai program di seluruh Filipina, Textbook of Pediatrics.

Pada 2011, Dr Del Mundo akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat serangan jantung.

Biarpun jasadnya sudah tiada lagi di dunia, namun, tidak dapat dinafikan begitu banyak jasanya terhadap dunia pediatrik.

 

Sumber: [1]