Kanak-Kanak Menangis Kerana Kekalahan Jerman Bakal Terima Sumbangan RM155,000

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak perempuan Jerman yang menangis akibat kekalahan Jerman kepada England sebanyak 0-2 dalam satu perlawanan EURO 2020.

kanak-kanak menangis kerana kekalahan jerman bakal terima sumbangan rm155,000

Bagaimanapun, kanak-kanak itu kemudian tidak semena-mena menjadi mangsa buli siber gara-gara disindir dan dilemparkan kata-kata kesat oleh sebilangan penyokong bola sepak England dalam talian.

Susulan itu, seorang lelaki bernama Joel Hughes, 51, tampil memulakan kempen pengumpulan dana khusus untuk kanak-kanak itu.

Niatnya tidak lain tidak bukan adalah untuk membuktikan tidak semua penduduk United Kingdom mempunyai sikap yang ‘tidak baik’.

Asalnya, jumlah yang disasarkan hanyalah £500 yang bersamaan dengan RM2,877. Namun, hasil kumpulan akhir mendapati bahawa keseluruhan dana yang berjaya dikutip daripada orang ramai berjumlah £27,000, iaitu kira-kira RM155,000.

Biarpun begitu, lelaki itu yang berasal dari Newport itu berkata, sehingga kini dia masih belum dapat menghubungi keluarga kanak-kanak itu. Bagaimanapun, dia kini mempunyai maklumat berkenaan keluarga terbabit hasil daripada pencarian bersama wartawan di Jerman.

Sekiranya dia tidak berjaya juga menemui keluarga kanak-kanak tersebut atau mereka tidak mahu menerima sumbangan tersebut, Joe berkongsi bahawa wang itu akan didermakan kepada mana-mana organisasi yang berkaitan dengan anti buli siber.

Terdahulu, foto yang memperlihatkan kanak-kanak itu menangis sambil dipujuk bapanya tular di media sosial dengan beberapa pengguna menggelarkannya dengan gelaran yang kurang elok selain komen yang berbaur perkauman.

Menurut Joel, dia berasa bosan dengan sikap sebegitu dalam kalangan penduduk United Kingdom dan berpandangan bahawa ia telah menjadikan negara tersebut sebuah komuniti yang gagal dalam aspek toleransi.

 

Sumber: [1]