Kumpulan gadis K-Pop popular, ITZY mendedahkan bahawa mereka semua cuba meninggalkan JYP Entertainment sebelum debut.
Pengakuan tersebut dibuat ketika mereka tampil dalam sebuah rancangan bual bicara, Tikita CAR, baru-baru ini.
Salah seorang anggota kumpulan tersebut, Chaeryeong, berkongsi mengenai kesukaran yang dilaluinya dalam tempoh tujuh tahun bergelar pelatih di JYP Entertainment tersebut.
Dedahnya, agensi tersebut mengadakan penilaian kemahiran bulanan yang sangat sukar, dan menyatakan bahawa dia harus melalui penilaian tersebut setiap bulan selama tujuh tahun.
Keseluruhan anggota kumpualan ITZY kemudiannya mengakui bahawa mereka semua cuba meninggalkan JYP Entertainment bersama sebelum mereka memulakan debut.
Mereka turut menekankan bahawa mereka ingin melakukannya bersama-sama dan bukannya secara berseorangan.
Bagaimanapun, kelima-lima mereka akhirnya memilih untuk kekal dan memulakan kerjaya bawah JYP Entertainment sebagai ITZY bermula 2019.
Dalam perkembangan lain, kumpulan yang baru sahaja menginjak usia dua tahun itu kembali melakukan kemunculan semula menerusi album mini keempat mereka, berjudul Guess Who pada 30 April lalu.
Dua hari sebelum tarikh kemunculan semula terbaru mereka itu, album mini terbabit diiktiraf sebagai album terlaris ITZY berikutan kejayaan melepasi 260, 000 pra-pesanan sekali gus memecah rekod terdahulu mereka dengan album Not Shy yang terjual sebanyak 200, 000 salinan.
Sumber: [1]