Seorang gadis istimewa kelahiran Perak yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan, Norfarrah Syahirah mendapat perhatian dunia apabila videonya menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) tular di dan dikongsi oleh media antarabangsa, FOX 32 Chicago.
Gadis berusia 32 tahun ini berasa sangat bangga dan menyatakan langsung tidak pernah terfikir akan kelainannya membuatkan dia dikenali hingga ke luar negara.
"Apabila saya mulakan projek PPE bersama rakan-rakan dulu, niat saya cuma mahu bantu petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak koronavirus (Covid-19).
"Saya gunakan kemahiran menjahit saya untuk tujuan itu dan video aktiviti menjahit tersebut saya kongsi dengan harapan memberi inspirasi kepada orang ramai terutama kurang upaya (OKU)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Portal FOX 32 Chicago telah memuat naik video selama 1 minit 59 saat itu pada Facebook rasmi mereka. Video tersebut telah mendapat lebih 53,000 tontonan dan mendapat pelbagai reaksi positif.
Farrah berkata beliau hanya mengetahui hal tersebut apabila dimaklumkan seorang rakannya.
"Rakan beritahu yang video saya disiarkan di satu laman berita antarabangsa. Pada mulanya saya memang tak percaya kerana beranggapan ia video biasa sahaja.
"Maka bila dapat tonton sendiri, saya rasa sangat terkejut dan terharu, tak sangka usaha kecil dapat pengiktirafan sebegitu sekali," katanya.
Perkara tersebut menjadi satu motivasi dan semangat buatnya untuk terus berbakti. Beliau juga bertekad untuk menjadi inspirasi dan teladan yang baik kepada masyarakat.
"Ada juga yang mencadangkan saya buat video memasak, mengemas dan membasuh. Insha-ALLAH ia dalam perancangan dan akan saya usahakan.
"Harapan saya cuma mahu mereka yang senasib seperti saya boleh berdikari dan tidak patah semangat untuk jalani kehidupan sepertimana orang lain," katanya.
Sumber: Sinar Harian