Filem ‘On Your Mark’, Arahan Pengarah Ola Bola Berjaya Duduki Tangga No 1 Carta Filem Di China

Pengarah filem The Journey dan Ola Bola iaitu, Chiu Keng Guan sekali lagi berjaya mengangkat nama Malaysia dalam arena perfileman di China menerusi hasil karya terbarunya yang berjudul On You Mark.

filem ‘on your mark’, arahan pengarah ola bola berjaya duduki tangga no 1 carta filem di china

Lebih membanggakan, filem tersebut yang baru sahaja ditayangkan China bermula 18 Jun lalu berjaya mengutip sebanyak RM8.7 juta (RMB13.65 juta) hanya pada hari pertama tayangan menerusi 9 ribu buah pawagam di negara tersebut!

Pencapaian tersebut sekali gus meletakkan filem terbabit di tangga nombor satu dalam senarai filem terkini di China.

Setakat 20 Jun, On Your Mark dilaporkan meraih hampir RM24 juta (RMB37 juta).

Sebagai makluman, On Your Mark merupakan filem pertama arahan Chiu Keng Guan di negara tersebut dan ia diterbitkan oleh Jiangsu Maoyan Culture Media, Wuxi Cangsheng Film, Tianjin Maoyan Weiying Culture Media, Jiangsu Hao Di Cultural Development, Sports Culture Development Center of the State General Administration of Sports (China Sports Museum), dan Astro Shaw, selaku penerbit tunggal dari Malaysia.

Selain penerbit, Astro Shaw juga tampil selaku pihak pemasar dan pengedar rasmi bagi filem tersebut di sini. Bermaksud filem yang berjaya memecah panggung di China itu akan turut menemui orang ramai di Malaysia tidak lama lagi.

filem ‘on your mark’, arahan pengarah ola bola berjaya duduki tangga no 1 carta filem di china

Sementara di Malaysia menggunakan tajuk On Your Mark, di China, filem tersebut dikenali sebagai The Great Dad atau Liao Bu Qi de Lao Ba.

On Your Mark mengisahkan mengenai seorang anak muda bernama Xiao Erdong yang menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang pelari marathon seperti ibunya.

Bagaimanapun, cita-cita tersebut dihalang bapanya yang tidak mahu mengecewakan anaknya kerana dia berkemungkinan mewarisi sindrom buta yang pernah dialami mendiang ibunya suatu ketika dahulu.

Filem tersebut membariskan pelakon hebat dari China seperti Yanhui Wang, Youhao Zhang, Beibi Gong, Wenjuan Feng, Junhao Li dan Jinshan Liu.

Sesiapa sahaja yang pernah menonton filem-filem arahan Chiu Keng Guan pastinya sudah cukup sinonim dengan hasil karyanya yang kebanyakan bersifatkan kekeluargaan, persahabatan selain unsur perpaduan dan kreatif yang sering diterapkan.

filem ‘on your mark’, arahan pengarah ola bola berjaya duduki tangga no 1 carta filem di china

Terdahulu, Chiu Keng Guan pernah mencipta rekodnya yang tersendiri apabila beliau kedua-dua filem arahannya, The Journey dan Ola Bola berjaya tersenarai dalam Top 15 kutipan tertinggi di Malaysia.

Tidak ketinggalan, filem keluaran 2018 yang juga arahannya, iaitu Think Big Big berjaya menembusi pawagam di negara China sekali gus menjadi filem Malaysia yang mendapat tayangan terbesar menerusi 10,900 pawagam dengan 60,079 tayangan.

Selain itu, antara filem lainnya yang turut berjaya mendapat kutipan tinggi dan sambutan baik termasuklah Great Day (2011), Woohoo! (2010) dan Skate Our Souls (2019).