“Hubungi rakan anda, tanya khabar dan beritahu, anda sayangkan mereka.”
Begitulah pesanan oleh selebriti antarabangsa kelahiran Malaysia, Hery Golding.
Menerusi satu entri berupa video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, Henry menyentuh mengenai isu kesihatan mental yang semakin serius dalam kalangan masyarakat pada saat-saat pandemik sebegini.
“Satu perkara yang kita ambil mudah ialah kesihatan mental, kerapuhan emosi. Ia adalah antara perkara yang kita selalu terlepas pandang,” ujarnya.
“Ada yang kehilangan kerja, tidak berjumpa rakan atau yang tersayang dalam jangka masa yang lama.
“Ketika ini amat sukar untuk bertemu dengan sesiapa sahaja dan tidak hairan pemikiran itu boleh berubah kepada sesuatu yang gelap,” ujar pelakon berusia 34 tahun itu yang menempa populariti antarabangsa menerusi filem Hollywood, Crazy Rich Asians.
Tambahnya lagi, “Apa yang saya ingin orang ramai lakukan adalah sangat senang. Fikirkan tiga rakan yang anda rasa memerlukan mesej ringkas dan hubungi mereka.
“Panggilan seperti itu...katakan tiga ke empat minit, hanya untuk bertanya bagaimana keadaan mereka.
“Jangan hanya melakukan panggilan biasa, tanya mereka betul-betul bagaimana mereka berdepan dengan segalanya.
“Bayangkan menerima panggilan atau mesej daripada seseorang yang mengatakan mereka memikirkan anda?
“Ia boleh membawa satu perubahan drastik terhadap emosi dan mental seseorang individu itu,” tambah beliau.
“Satu perkara yang saya ingin katakan kepada anda semua, ada yang memikirkan anda, ada yang peduli dan bimbang dengan keadaan diri anda,” titipnya lagi.
Nyawa anda berharga. Dapatkan bantuan.
Sumber: [1]