Pelakon Fauziah Nawi, 68, membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk seseorang terus menimba ilmu.
Terbaru, Fauziah Nawi dikhabarkan bakal bergelar lulusan Kursus Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang pengarahan filem sebaik sahaja tamat pengajian di Kolej Teknologi MEA, Kajang pada Jun ini.
Namun, graduasi tersebut tidak akan menjadi yang terakhir buat Fauziah kerana beliau mendedahkan, dirinya berhasrat untuk mengambil ijazah dalam bidang pengarahan pula selepas ini.
Lebih mengagumkan, ini bukanlah juga kali pertama buat Fauziah Nawi menyambung pengajian kerana sebelum ini beliau pernah mengambil ijazah sarjana dalam bidang lakonan di Open University Malaysia (OUM) pada 2018.
Kongsinya kepada satu akhbar tempatan, “Memang seronok apabila berjaya menyelesaikan ujian untuk terus komited dengan kursus ini. Namun, tak dinafikan mulanya dah rasa tak nak buat kerana ia bukan mudah.”
Terangnya lagi, beliau menjadi tidak putus semangat apabila mendapat galakan daripada anaknya, Fateha, yang turut menyertai kursus terbabit biarpun memiliki kelulusan ijazah dari luar negara.
“Dia (Fateha) yang banyak beri tunjuk ajar pada saya dan memang susah kalau tiada yang bantu. Tapi bila fikir anak yang ada kelulusan dari luar negara pun nak buat, takkanlah saya yang tiada apa-apa ini tak mahu pula.
“Baik saya buat kerana sampai bila saya nak berlakon. Bila dapat pengiktirafan, maknanya nama saya ada dalam pendaftaran kerajaan. Ia akan meningkatkan industri seni kita kerana sudah ada data yang tercatat.”
Selain itu, Fauziah turut mengakui kepentingan mempunyai kelulusan pendidikan.
Ujarnya, “Walaupun ada pengalaman banyak dan luas berbanding dengan mereka yang ada diploma atau ijazah, ia tetap akan berbeza jika tiada kelulusan atau pengiktirafan pendidikan.
“Kerajaan pula akan bayar ikut kemahiran atau kelulusan kita. Namun, kini apabila ada pengiktirafan, saya rasa cukup lega.
“Saya juga amat selesa selepas ini apabila dipanggil untuk terbabit sebagai panel atau perbincangan mengenai pengarahan kerana sudah ada kelayakan dari kerajaan menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).”
Sumber: HM