Sebelum lagu “Dynamite” mula mengegarkan industri muzik global, syarikat yang menaungi BTS, iaitu HYBE, tercari-cari lagu Bahasa Inggeris yang sesuai untuk dinyanyikan kumpulan tersebut.
Sungguh, ia merupakan percaturan baru bagi kumpulan K-Pop masyhur tersebut kerana dahulunya, belum pernah lagi mereka mengeluarkan sebarang lagu asli yang dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris.
Akhirnya, mereka menemui orang yang sesuai untuk bahagian tersebut, iaitu duo penulis lagu yang berpangkalan di United Kingdom – David Stewart dan Jessica Agombar.
Hasilnya, terciptalah lagu “Dynamite” yang mana lagu tersebut kini sudah mencecah sebanyak 1 bilion tontonan di YouTube sahaja, tidak termasuk pelantar platform muzik lain!
Namun, persoalannya, mengapakah HYBE mahu mula menghasilkan muzik dalam Bahasa Inggeris untuk BTS? Alasan Bang PD mungkin akan mengejutkan anda!
Difahamkan, tercetusnya “Dynamite” adalah ketika wabak COVID-19 sedang rancak menakluki dunia sehingga mengesankan ramai penduduk di seluruh dunia. Berikutan itu, BTS dan Bang PD mahukan lagu yang berupaya untuk menaikkan semula mood peminat dan menggembirakan mereka terutamanya dalam waktu-waktu sukar sebegini.
Menurut Bang PD, barangkali “Dynamite” tidak akan terhasil sekiranya BTS melakukan jelajah dunia. Namun, berikutan daripada penundaan terhadap jelajah dunia yang sepatutnya dilakukan mereka itu, terhasilnya “Dynamite” yang digemari ramai penggemar muzik dari serata dunia, lagi-lagi ia dikeluarkan pada waktu pandemik yang menyebabkan ramai bersedih hati akibat terkesan dengan situasi pandemik yang merosotkan kehidupan harian.
Tambahnya lagi, tujuan lagu tersebut dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris oleh BTS adalah supaya mesejnya sampai berikutan bahasa tersebut lebih mudah untuk difahami peminat di seluruh dunia.
Kini, BTS sedang mempersiapkan diri untuk melancarkan single kedua Bahasa Inggeris mereka yang berjudul “Butter”.
Menurut komentari majalah Rolling Stone, seperti “Dynamite”, single “Butter” juga tidak mempunyai pesanan yang berat. Tambah mereka lagi, lagu tersebut ibarat perayaan terhadap genre tarian-pop yang murni serta memukau seolah-olah nadi retro yang dibawakan Bruno Mars, dan lapisan sintetik gaya Jam dan Lewis.
Senang cerita, ia menawarkan pengalaman yang ‘halus seperti mentega’ namun sedikit pun tidak memudarkan ‘cahaya bintang’ kumpulan terhebat di dunia itu.
Sumber: [1]