Diusik Mengenai 'Kematian', Suami Sebak Mengenangkan Situasi Elyana

Ahad lalu, bersempena dengan Hari Bapa, penyanyi Elyana memuat naik satu entri di Instagram yang didedikasikan khusus untuk suami tersayangnya, Khairul Anuar Husin.

diusik mengenai 'kematian', suami sebak mengenangkan situasi elyana

Tulisan pada entri yang menyentuh hati itu berbunyi, “Selamat Hari Ayah. Bonda, Cinta dan Cahaya sayang sangat kat ayah. Kalau ayah tak ada, kita orang tak best... Mesti nak kena ada ayah. Sebab ayah our superhero. Semua ayah boleh buat, kecuali pasangan kabinet, katil dan apa je yang ada skru memang ayah tak pandai.

“Nasib baik Bonda power part tu. Sebab tu, Bonda selalu doa, biar Bonda pergi dulu dari ayah. Sebab tak boleh hidup dan tak best kalau tak ada,” coret Elyana.

Khairul yang telah 11 tahun bergelar pasangan kepada pelantun lagu “Tak Tercapai Akalmu” itu sememangnya tersentuh dengan luahan ikhlas isterinya kekal cekal melawan kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya.

“Tentunya, ungkapan ‘biar Bonda pergi dulu dari ayah’ menjentik emosi saya. Memang sedih dan terusik.

“Cuma, kalau boleh saya tidak mahu Elyana cakap siapa pergi dahulu. Soal ajal maut, semuanya di tangan Tuhan. Kita tidak mampu menjangka siapa terlebih dahulu dijemput Ilahi.
“Apa yang penting, saya mahu Elyana terus berjuang kanser limfoma,” luahnya kepada satu akhbar tempatan.

Kongsinya lagi, sebagai seorang lelaki yang telah membina hidup bersama dengan pasangannya, Elyana, Khairul menyifatkan isterinya itu ialah seorang manusia yang kuat.

“Sejujurnya, saya tidak sangka Elyana boleh jadi sekuat ini. Kami duduk sebumbung, setiap hari saya melihatnya berjuang melawan kesakitan.

“Ada masa, saya juga sering tertanya-tanya bagaimana isteri boleh jadi sekuat ini. Semangatnya melawan sakit sangat tebal. Namun, ada juga Elyana lemah seperti pesakit kanser lain. Ada ketika, dia jadi ‘down’.

“Cuma mengenalinya, Elyana jenis yang tidak mahu orang lain tahu dirinya sedang berperang dengan kesakitan. Biar sakit ditanggungnya sendiri,” ujarnya lagi.

Berbicara mengenai perkembangan berkenaan kesihatan isterinya itu, Khairul turut berkongsi yang Elyana kini sedang menjalani rawatan radioterapi di sebuah hospital.

“Kesan rawatan radioterapi ada kala membuatkannya loya, nak muntah, batuk tidak berhenti dan macam-macam lagi. Buat rawatan laser memang panas dan boleh ambil masa berjam-jam.

“Ditambah pula Elyana juga mengalami gastrik dan ulser, saya melihatnya jadi kasihan. Itu yang ada masa, isteri enggan nak buat rawatan.

“Namun, mahu atau tidak, Elyana perlu teruskan,” kata Khairul.

Bagaimanapun, Khairul berkongsi bahawa dia dan Elyana berterima kasih kepada para peminat yang terus mendoakan kesihatan dan kesejahteraan isterinya itu.

Luahnya, “Ramai sayang pada Elyana. Saya tahu, Elyana pun menyedarinya. Ada yang sanggup menghantar ubat dan macam-macam lagi.

“Namun, apa yang lebih utama adalah doa yang menjadi ubat mujarab untuknya terus bertahan. Doa jadi asbab segala-galanya.”

 

Sumber: [1]