Diberi Gelaran 'Super Nenek', Wanita Berusia 70 Tahun Ini Telah Selesai 100 Marathon!

Mungkin sesetengah orang memilih untuk bersantai setelah bersara, namun lain pula bagi seorang wanita berusia bernama Wang Lang yang berasal dari Liaoning, China.

diberi gelaran 'super nenek', wanita berusia 70 tahun ini telah selesai 100 marathon!

Wang Lang yang berusia 70 tahun diberi gelaran ‘super nenek’ kerana berjaya menyelesaikan lebih daripada 100 marathon dalam tempoh 20 tahun yang lalu!

Dia dikhabarkan mula berlari sejak usia 50 tahun untuk kekal segar namun segera menyedari dari situ, bahawa hobi tersebut membuatkannya kekal bersemangat.

Wang Lang menyelesaikan marathon pertamanya pada 2004 dan tidak pernah berhenti sejak dari itu. Bahkan, dari 2005 hingga 2017, Wang Lang berjaya menamatkan acara tahunan Marathon Beijing sebanyak 13 kali! Selain itu, Wang Lang juga berjaya mencipta rekod menerusi acara tersebut dengan menjadi peserta tertua yang pernah menyelesaikan Marathon Liaoning sepanjang 168 kilometer dalam masa 40 jam!

“Wanita ini seusia dengan nenek saya, bagaimana dia boleh berlari dengan pantas? Ia luar biasa,” kata seorang pelari berusia dua puluhan setelah melihat Wang di Marathon Liaoning pada April.

Difahamkan bahawa ia merupakan kali kedua Wang Lang menyertai perlumbaan.

Tahun lalu, dia memutuskan untuk mendaftar marathon sejauh 110 kilometer dan berlari bersama sahabatnya. Lebih menarik, dia juga dilaporkan menunggu sekitar lima hingga enam jam agar rakannya dapat mengejar rentak lariannya itu agar mereka dapat melintasi garisan penamat bersama-sama.

Ramai yang tertanya-tanya tentang bagaimana seorang wanita yang sudah pun mencecah usia 70 tahun berada dalam keadaan baik, bahkan juga berupaya menyelesaikan marathon yang mana kebanyakan orang yang seusia dengannya tidak mempunyai keupayaan untuk melakukan aktiviti terbabit?

Menurut agensi berita China iaitu Sina, Wang Lang berjalan sekurangnya-kurangnya 20 kilometer enam hari seminggu, dan pada setiap Ahad dia akan berjalan lebih jauh selain menjadi anggota kelab lari jarak jauh.

Tambah laporan itu lagi, Wang Lang gemar berlari di jalan gunung di sekitar kampung halamannya di Liaoning, namun pada musim sejak, ketika cuaca tidak membenarkannya berbuat sedemikian, dia akan tetap berjalan tetapi di jalan tar.

Selain itu, Wang juga merupakan penggemar mendaki gunung dan pernah mengambil bahagian dalam Festival Pendakian Gunung Antarabangsa Taishan, yang mana dia menduduki tempat ke-27 dalam kalangan ribuan peserta!

Lebih mengejutkan, Wang dikatakan jarang mengalami sebarang kecederaan lutut atau pergelangan kaki selama bertahun-tahun kerana memiliki mental dan fizikal yang kuat, yang salah satunya diperoleh daripada pengalamannya dalam melalui kesukaran ketika zaman kanak-kanak. Satu-satunya masalah serius yang pernah dialaminya ialah katarak yang mempengaruhi penglihatannya. Namun, dia tetap sahaja menyelesaikan Marathon Liaoning dengan menggunakan lampu depan, yang membantunya untuk melihat dengan lebih baik.

Menurut Wang Lang, dia percaya bahawa usia hanyalah angka. Oleh sebab itu, dia merancang untuk terus berlari marathon dan menikmati matahari terbenam selagi umur dan kesihatannya mengizinkan.

 

Sumber: [1]