Dari Jasin, Melaka Ke Tokyo, Atlet Angkat Berat Ini Berhasil Menyumbang Emas Pertama Filipina!

Atlet angkat berat, Hidilyn Diaz mencipta sejarah apabila muncul sebagai atlet pertama Filipina yang berjaya meraih pingat emas dalam temasya Sukan Olimpik.

dari jasin, melaka ke tokyo, atlet angkat berat ini berhasil menyumbang emas pertama filipina!

Diaz, 30, mengucup kilauan emas hasil kemenangannya setelah berjaya memenangi kategori 55 kilogram (kg) wanita pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Tokyo Internasional Forum semalam.

Lebih membanggakan, kejayaan tersebut sekali gus melihat Diaz yang bergelar juara, menewaskan pemegang rekod dunia dari China, Liao Qiuyun yang terpaksa berpuas hati di tangga kedua dengan pingat perak.

Terdahulu, Diaz turut menjadi yang pertama menamatkan kemarau 20 tahun Filipina apabila beliau berjaya merangkul pingat perak menerusi Sukan Olimpik Rio 2016.

Tidak ketinggalan, kisah mengenai dirinya yang ‘tersadai’ di Melaka akibat pandemik COVID-19 turut mencuri tumpuan ramai.

Diaz dikhabarkan terpaksa tinggal di Malaysia sejak Februari tahun lalu berikutan pandemik tersebut yang melanda serata dunia.

Namun, situasi tersebut sedikit pun tidak melunturkan semangatnya untuk terus membuat persiapan bagi memburu emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sejak dari itu, beliau kerap kali menjalani latihan di sebuah rumah di Jasin, Melaka sebagai persediaan bagi menghadapi sukan berprestij itu, dan lebih dari setahun kemudian, usaha kerasnya itu ternyata membuahkan hasil yang membanggakan.

Diaz pada awalnya, dikatakan berlatih di gimnasium berhampiran. Bagaimanapun, dia kemudian memindahkan peralatan latihan ke tempat letak kereta ke rumah berkenaan setelah larangan perintah kawalan pergerakan diketatkan pihak berkuasa.

 

Sumber: [1]