Dahulunya Hidup Dibelenggu Hutang, Kini Penyanyi IU Kaya Raya

Kisah mengenai kebangkitan penyanyi Korea, IU atau nama sebenar Lee Ji Eun sememangnya sesuatu yang boleh dijadikan inspirasi ramai.

dahulunya hidup dibelenggu hutang, kini penyanyi iu kaya raya

Penyanyi berusia 28 tahun itu mempunyai permulaan yang amat sukar sebelum akhirnya berjaya bergelar salah seorang artis ternama bukan sahaja di Korea Selatan, malahan di serata dunia.

Dahulunya, sebelum memulakan karier sebagai penyanyi, IU pernah tinggal bersama neneknya di sebuah bilik kecil yang dipenuhi lipas, dan sering diulit dengan masalah kewangan. Ketika itu juga, dia sering berulang-alik ke rumah saudara-mara akibat hutang orang tuanya yang berat.

IU dikatakan berhasrat untuk menceburkan dirinya dalam bidang hiburan sejak usia muda, namun saudara-maranya mengejek impiannya yang satu itu.

Cubaan demi cubaan untuk menceburi bidang terbabit dilakukannya tanpa putus asa. Kongsi IU, dia pernah gagal dalam 20 uji bakat dalam masa dua tahun, dah bahkan ditipu oleh agensi palsu.

Namun, berkat usahanya yang tidak pernah putus-putus, IU akhirnya bergelar artis bawah naungan Leon Entertainment, yang kini dikenali sebagai Kakao M.

Siapa sangka, sejak dari itu, setiap satu lagu yang dikeluarkannya pasti akan menduduki tangga tertinggi di carta sehingga menyebabkan dirinya bukan sahaja berkecimpung dalam bidang hiburan sebagai seorang penyanyi berbakat, bahkan juga sebagai pelakon utama drama yang acap kali menghiasi kaca televisyen.

Susulan itu, ia tidaklah begitu mengejutkan apabila nilai bersih IU kini dilaporkan kira-kira AS$28 juta (RM 118,412,000).

Walaupun dirinya sudah bergelar antara salah seorang bintang berpengaruh di Korea Selatan, IU bagaimanapun, tidak sekali pun melupakan keluarganya. Menerusi kekayaannya itu juga, dia melunaskan kesemua hutang ibu bapanya.

Pada 2018, IU membeli sebuah bangunan bernilai AS$ 3.9 juta (RM 16,493,100) di Gwacheon dan sebuah rumah dua tingkat bernilai AS$ 2.5 juta (RM 10,572,500) di Yangpyeong. Dia juga membeli lot tambahan di lokasi yang sama. Menurut ejennya, rumah di Yangpyeong digunakan untuk bersantai bersama keluarganya pada hujung minggu.

Selain itu, IU juga aktif dalam melakukan amal kebajikan yang mana bersempena Hari Kanak-Kanak pada 2020, bintang K-Pop itu menyumbang sebanyak AS$ 90,000 (RM 380,610) kepada anak-anak yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah, atau yang dibesarkan datuk dan nenek mereka menerusi bantuan yayasan.

IU juga pernah membantu lima pelajar dari segi kewangan dari 2013 hingga 2018 yang mana kesemua pelajar tersebut yang berasal dari keluarga kurang senang, disediakan dengan pembiayaan pendidikan lebih dari AS$ 17,000 (RM 71,893).

Tidak ketinggalan, dalam musim pandemik, IU turut menyertai beberapa selebriti Korea lain yang berusaha melawan COVID-19 dengan menyumbangkan 4,600 jaket penyejuk kepada para jururawat, AS$ 8,150 (RM 34,466) kepada keluarga berpendapatan rendah yang dijangkiti virus di Gwacheon dan AS$ 16,800 (RM 71,047) kepada sebuah pusat kebajikan di Yangpyeong.

 

Sumber: [1]