Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun menarik perhatian NASA apabila dia menghantar surat permohonan kerja di agensi angkasa antarabangsa itu.
NASA pada awalnya membuka permohonan bagi jawatan Pegawai Perlindungan Planet yang mana seseorang itu perlu bertanggungjawab melindungi planet ini dari ‘pencemaran mikroba dari planet lain’.
Bagaimanapun, kemudian muncul kanak-kanak bernama Jack Davis berasal dari New Jersey, Amerika Syarikat ini yang mana dia memperkenalkan dirinya sebagai ‘Guardian of Galaxy’.
“Saya mungkin berusia sembilan tahun tetapi saya fikir saya sesuai dengan pekerjaan itu,” coret Jack dalam satu surat yang ditulisnya sendiri.
Paling mencuit hati, Jack turut menyenaraikan ‘pengalaman’ bekerjanya.
“Saya telah melihat hampir semua filem berkenaan angkasa dan makhluk asing yang saya boleh tonton,” jelasnya.
Lanjutnya, “Saya juga pernah menonton rancangan Marvel Agents of Sheild dan berharap dapat menonton filem Men in Black.”
Dalam pada itu, dia turut menggambarkan kemahiran motor halus dan kemampuannya untuk belajar serta menerapkan konsep baru dengan cepat.
“Saya hebat dalam permainan video. Saya masih muda, jadi saya dapat belajar berfikir seperti makhluk asing,” coret Jack lagi.
Kesungguhan Jack ternyata tidak sia-sia kerana ia berjaya menarik perhatian NASA yang mana mereka kemudian membalas surat tersebut selain Pengarah Penyelidikan Planet, Jonathan Rall yang turut berhubung dengan Jack menerusi panggilan telefon.
Dalam surat balasan daripada NASA itu, mereka mengucapkan tahniah kepada atas minatnya serta memberikan beberapa pandangan tambahan berkenaan pekerjaan tersebut.
“Ini mengenai melindungi Bumi dari mikroba kecil iaitu ketika kita membawa kembali sampel dari Bulan, asteroid dan Marikh. Ini juga mengenai melindungi planet dan bulan lain dari kuman ketika kita meneroka Sistem Suria secara bertanggungjawab,” tulis James L. Green selaku pengarah NASA bahagian sains planet.
Biarpun NASA tidak menawarkan pekerjaan tersebut kepadanya, bagaimana ia sama sekali tidak bermaksud penolakan sepenuhnya.
“Kami selalu mencari saintis dan jurutera yang mempunyai masa depan cerah untuk membantu kami, jadi saya harap anda akan belajar bersungguh-sungguh dan berjaya di sekolah,” kata Green.
“Kami berharap dapat melihat anda di NASA pada suatu hari nanti,” tambah Green.
Sumber: [1]