Penyanyi muda, Wani Kayrie meluahkan rasa syukur selepas berjaya memperoleh keputusan cemerlang bagi semester lima pada tahun ini.
Wani yang berusia 21 tahun menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Perdagangan.
Menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram, Wani mengatakan kejayaan tersebut sememangnya berbaloi selepas sanggup bersengkang mata di tengah malam meski dihadapkan dengan kesibukan kerjayanya sebagai anak seni.
“Simpan di sini, biar jadi kenangan apabila sudah lulus nanti. Sememangnya tidak mudah untuk belajar sambil bekerja.
“Lagi-lagi Wani pelajar sepenuh masa di MSU Malaysia dan kena seimbangkan belajar serta karier. Orang hanya nampak Wani muat naik pasal kerja dan seronok jalan-jalan.
“Hakikatnya, inilah orang yang berjaga macam burung hantu sampai pagi, siapkan assignment dekat set, masuk kelas online dekat studio dan macam-macam lagi,” luahnya.
Dalam entri sama, Wani turut berkongsi keputusan peperiksaannya yang mana dia berjaya memperoleh ‘A’ dalam empat subjek, ‘B’ untuk dua subjek dan satu ‘C’, iaitu subjek perakaunan.
Bagaimanapun, pelantun lagu “Aksara Cinta” itu tetap bersyukur dengan keputusan tersebut.
“Alhamdulillah Ya Allah atas keputusan ini. Walaupun subjek kewangan dapat C (memang dari sekolah tak ada bakat ya kira-kira) sampailah sekarang, tapi saya bangga dengan diri sendiri untuk subjek teras undang-undang.
“Siang kerja, lepas itu sambung tugasan sampai pagi, lepas itu esok bangun pagi pergi ke set penggambaran! Segala jerih perih itu…Tetapi, saya percaya pada proses…”
Terdahulu, Wani juga pernah berkongsi keputusan peperiksaannya ketika semester 3 dan 4 yang mana tegasnya, perkongsian tersebut bukanlah bermaksud untuk menunjuk-nunjuk.
Sumber: [1]