Bella Hadid Sertai Protes Kekejaman Israel

Di kala dunia merintih mengenai kekejaman tidak berhati perut Israel terhadap Palestin, ramai figura terkenal dari serata dunia turut menggunakan pengaruh mereka untuk menyuarakan ketidakpuasan mereka berkaitan isu yang terbabit.

bella hadid sertai protes kekejaman israel

Salah seorang figura yang paling lantang berkenaan isu itu termasuklah model ternama dunia, Bella Hadid, yang tidak putus-putus memuat naik entri di media sosial peribadinya, demi menyatakan sokongannya terhadap Palestin.

Hujung minggu lalu, Bella membuktikan bahawa dia bukan sekadar berkata-kata mengenai ‘perjuangannya’ itu apabila dia tampil menyertai perarakan pro-Palestin di New York City, yang mana para penunjuk perasaan turun di sekitar jalan Bay Ridge, Brookly sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

Dalam video yang dirakamkan FNTV, Bella dilihat mengibarkan bendera Palestin dan mengangkat tanda perdamaian (peace sign), sambil dikelilingi orang ramai yang bersorak.

Terdahulu, model berusia 25 tahun yang berketurunan Palestin itu turut berkongsi gambar hari perkahwinan datuk dan neneknya, dan gambar ayahnya sebagai anak lelaki yang dikelilingi ibu dan tujuh adik-beradiknya yang lain. Coretnya, keluarga tersebut “dibawa keluar dari kediaman mereka di Palestin pada 1948, menjadi pelarian di Syria, kemudian Lebanon, kemudian Tunisia.”

Luahnya lagi, “Saya sayang keluarga saya, saya sayangi warisan saya, saya sayangkan Palestin. Saya akan terus teguh untuk mempertahankan harapan mereka untuk tanah yang lebih baik dalam jiwa ini. Dunia yang lebih baik untuk orang kami dan manusia-manusia sekitar mereka. Mereka tidak akan dapat menghapus sejarah kami. Sejarah adalah sejarah!”

Terdahulu, Israel dan Hamas bertukar-tukar serangan udara sejak seminggu lalu.

Sejak Isnin, Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 139 orang, termasuk 39 kanak-kanak telah terbunuh di Gaza, manakala Israel pula mencatatkan 10 kematian, berdasarkan laporan Reuters.

Lebih parah, serangan udara Israel pada Sabtu lalu telah menghancurkan sebuah bangunan media, menempatkan beberapa organisasi berita antarabangsa, yang berpusat di Gaza.

 

Sumber: [1]