Sesiapa sahaja yang pernah bergelar peminat 2NE1, pastinya cukup kenal dengan nama CL yang mengetuai kumpulan terbabit.
Baru-baru ini, CL sempat meluangkan masanya sebagai tetamu jemputan dalam rancangan Ask Us Anything bagi mempromosikan lagu terbarunya yang berjudul “Spicy”.
Dalam siaran 28 Ogos itu, CL berkongsi antara rakan selebriti antarabangsa yang rapatnya termasuklah nama-nama besar seperti Ariana Grande, Justin Bieber, Kanye West, Rihanna dan turut tidak ketinggalan, Beyoncé.
“Saya pernah berada bawah agensi sama dengan Justin Bieber dan Ariana kerana kami mempunyai pengurus yang sama. Oleh itu, ketika saya pergi ke Amerika Syarikat, mereka menjaga saya dengan baik,” katanya yang pernah menandatangani kontrak bersama Scooter Braun pada 2014.
Ceritanya lagi, ketika dia sedang melakukan persiapan debut solo di Amerika Syarikat, terdapat fasa yang mana dia berasa sangat sukar untuk dihadapi dalam hidupnya.
Namun, untung kerana Beyoncé kemudian hadir untuk memberikan kekuatan pada saat-saat tersebut.
Menggelar Beyoncé dengan panggilan ‘unnie’, kongi CL, “Ketika Beyoncé melancarkan jenama pakaiannya, dia meminta saya untuk menjadi model bagi barisan tersebut.
“Secara tidak langsung, saya mengalami masa yang paling sulit dari segi emosi dalam kehidupan saya pada waktu itu, dan mengenangkan bahawa dia menjemput saya untuk menjadi model menjadi satu sumber ketenangan besar.
“Dan cara dia berbual dengan saya mengenai perkara-perkara kecil, seperti betapa baiknya cuaca pada hari itu, membuatkan saya berasa lagi tenang. Oleh sebab itu, saya mula terfikir sejak itu, tidak kira apa jua, saya benar-benar ingin menjadi seseorang sepertinya,” ujar CL.
Sumber: [1]