Bantu Mangsa Banjir, Pak Nil Buka Kedai Percuma

Atas niat murni yang ingin membantu mereka yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini, personaliti TV Datuk Aznil Nawawi memutuskan untuk membuka kedai percuma yang dinamakan sebagai Kedai Percuma Pak Nil di Bukit Changgang, Banting.

bantu mangsa banjir, pak nil buka kedai percuma

Pengacara popular yang mesra disapa Pak Nil itu berkongsi bahawa idea tersebut tercetus selepas beliau menjalankan kerja-kerja mengumpulkan sukarelawan bagi membantu penduduk kawasan berkenaan untuk membina semula kehidupan baru berikutan banjir yang melanda sebelum ini.

“Sebelum ke sana, saya sebenarnya pernah dihubungi salah seorang pengikut saya di Instagram yang berkongsi cerita mengenai kemusnahan daerah itu akibat banjir, malah ketika ke kawasan itu, saya lihat ramai penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan (PPS) tidak mempunyai apa-apa selain pakaian yang melitupi tubuh mereka,” katanya.

Pak Nil menyatakan beliau mula membantu dengan menggunakan wang sumbangan daripada pengikut media sosialnya untuk menyediakan hampir seribu pek makanan hangat kepada mangsa.

“Selepas banjir surut, mereka mula bergerak pulang ke rumah masing-masing. Ketika itu, mereka perlu mengutip barang dan membaiki rumah. Barang keperluan asas pun sudah tiada. Dari situ saya terfikir kenapa tidak wujudkan kedai percuma ini,” katanya.

Pak Nil turut menambah yang dia mula membuat panggilan ke syarikat yang pernah bekerja dengannya sebelum ini.

“Mereka bermurah hati menghantar barangan keperluan seperti minyak masak, telur, air mineral, selimut, bantal dan banyak lagi. Saya juga terfikir untuk mengumpul barangan ini melalui sumbangan, dan meletakkan semuanya di dalam sebuah kedai,” katanya.

Pada masa sama, Pak Nil menyatakan bahawa beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menderma atas tujuan tersebut atau menghantar barangan keperluan ke kedai tersebut di mana para penduduk boleh mendapatkannya.”

 

Sumber: [1]