BTS Dilantik Sebagai Utusan Rasmi Presiden Korea Selatan, Wakilkan Negara Di Mesyuarat Antarabangsa

Kumpulan K-Pop masyhur, BTS, dilantik sebagai utusan presiden Korea Selatan untuk diplomasi awam.

bts dilantik sebagai utusan rasmi presiden korea selatan, wakilkan negara di mesyuarat antarabangsa

Pelantikan tersebut dilakukan pada minggu lalu oleh Presiden Korea Selatan, Moon Jae In.

Menurut jurucakap Rumah Biru, Park Kyung Mi, peranan BTS sebagai utusan presiden Korea Selatan bakal melibatkan mereka untuk menghadiri persidangan antarabangsa seperti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-76 yang akan diadakan pada September ini.

“Kami merancang untuk mengatur pelbagai aktiviti bersama BTS bagi mempromosikan kerjasama antarabangsa dalam menyelesaikan cabaran global, seperti memperbaiki alam sekitar, menyingkirkan kemiskinan dan ketidaksamaan, dan menghormati kepelbagaian,” kata Park menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada minggu lalu.

Tambah beliau, kehadiran BTS turut bertujuan menghantar mesej tambahan dan harapan kepada semua penduduk di serata dunia.

Terdahulu, BTS pernah memberi ucapan untuk beberapa kali di PBB. Tahun lalu, mereka berbicara di Perhimpunan Agung PBB ke-75 bagi menyampaikan mesej berkenaan harapan dan penenteraman dalam menghadapi wabak COVID-19.

Pada 2018, ketua kumpulan terbabit iaitu RM, turut berucap di Perhimpunan Agung PBB yang diadakan di New York mengenai usaha kumpulan mereka dalam menghentikan keganasan terhadap kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, BTS juga baru sahaja mengeluarkan single terbaru mereka, berjudul “Permission to Dance”. Ia merupakan lagu kelima mereka yang berjaya menduduki tangga teratas di carta Billboard Hot 100 Single.

 

Sumber: [1]