Selebriti ternama Indonesia, Bunga Citra Lestari berkongsi mengenai perasaan melihat trailer filem terakhir lakonan suami tercintanya, Allahyarham Ashraf Sinclair yang berjudul J2: J Retribusi.
Menerusi entri yang dimuat naik di Instagram miliknya, tulis Bunga yang lebih mesra disapa BCL, “His last movie... I’m proud of you sayang.”
Sejak dimuat naik, entri terbabit telah ditonton lebih 1.4 juta orang hanya dalam tempoh 16 jam.
Tidak ketinggalan, BCL turut memuji usaha keras dan pencapaian suaminya itu dengan mengatakan, “’MERCILESS’ itulah gambaran watak antagonis yang dilakonkan oleh Allahyarham Ashraf Sinclair yang membuatkan anda tidak senang duduk ketika menontonnya!”
Difahamkan bahawa Ashraf memainkan watak antagonis dalam filem tersebut yang bernama Taufiq.
Terdahulu, Ashraf menghembuskan nafas terakhirnya pada 18 Februari 2020, dipercayai akibat serang jantung.
Dalam perkembangan lain, J2: J Retribusi yang merupakan sekuel kepada filem box office J Revolusi bakal dilancarkan secara ekslusif menerusi platform penstriman Disney+ Hostar bermula 1 Jun ini.
Selain Allahyarham Ashraf Sinclair, filem tersebut diterajui bintang utama Zul Ariffin, Amelia Henderson, Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim dan ramai lagi.
Sumber: [1]