Pejam celik, pejam celi, Sukan Olimpik Tokyo 2020 akhirnya melabuhkan juga tirainya semalam dan kini bertukar menjadi suatu sejarah yang pastinya akan sentiasa segar dalam ingatan ramai rakyat Malaysia, dan juga penduduk seantero dunia.
Dalam semangat untuk meraikan beberapa kemenangan yang diperoleh jaguh atlet Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020, SYOK kali ini, ingin berkongsi dengan korang beberapa momen terhebat yang menjadi kegemaran ramai rakyat Malaysia sepanjang berlangsungnya Sukan Olimpik Tokyo 2020!
- Sukan Olimpik Tokyo 2020, pentas pertama buat Lee Zii Jia
Umum mengetahui Datuk Lee Chong Wei yang pernah membolot pingat perak sebanyak tiga kali berturut-turut di Sukan Olimpik, mengumumkan dirinya bersara dari dunia badminton pada 2019, iaitu setelah 19 tahun bergiat aktif dalam sukan terbabit. Susulan itu, Lee Zii Jia buat julung kalinya, melakukan penampilan debut dalam Sukan Olimpik selain turut menjadi pembawa Jalur Gemilang di acara pembukaan temasya terbabit bersama Goh Liu Ying.
Biarpun gagal mara ke pusingan separuh akhir akibat tewas pada Chen Long, Lee Zii Jia yang masih berusia 23 tahun bagaimanapun, menunjukkan prestasi yang cukup hebat sepanjang bertandingan dalam acara badminton perseorangan lelaki. Kehebatannya juga bahkan diakui Datuk Lee Chong Wei sendiri menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram bekas pemain badminton negara itu. Titip Chong Wei lagi dalam entri yang sama, kejayaan Zii Jia bukanlah hilang, tetapi hanya tertangguh.
- Datuk Azizulhasni Awang menang pingat perak!
Di hari terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, rakyat Malaysia dihadiahkan’ lagi dengan satu lagi kemenangan daripada Datuk Azizulhasni Awang yang berjaya memenangi pingat perak dalam acara keirin lelaki. Ia merupakan kemenangan kedua beliau di Sukan Olimpik yang mana sebelum itu, anak jati Terengganu pernah merangkul pingat gangsa di edisi Rio 2016.
Turut menambah kegembiraan itu, ketika Datuk Azizulhasni Awang ditemu ramah Astro Arena usai acara terbabit, wartawan Bazly Azmi, mengumumkan ‘rahsia besar’ yang disimpannya selama ini; isteri kepada Datuk Azizulhasni Awang sebenarnya sedang mengandungkan anak ketiga mereka. Namun, mereka memilih untuk merahsiakan perkara tersebut sebelum itu kerana tidak mahu mengganggu fokus Datuk Azizulhasni Awang yang sedang giat melakukan persiapan bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
- Beregu badminton lelaki negara tewaskan beregu kedua terhebat di dunia & menang gangsa!
Tidak dinafikan bahawa pasukan badminton negara yang mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 kali ini, kebanyakannya dihiasi wajah-wajah baru. Turut tidak terkecuali, beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang berjaya membuktikan kehebatan mereka dengan merangkul pingat gangsa dalam acara badminton beregu lelaki! Lebih mengagumkan, kejayaan tersebut juga melihat mereka menewaskan beregu kedua terhebat dunia yang dianggotai Hendra Setiawan dan Mohammad Ahsan dari Indonesia, dalam pertarungan mendapatkan pingat gangsa.
- Aksi terjun hebat Nur Dhabitah yang sering diiringi senyuman manisnya
Atlet terjun wanita negara menamatkan kempen Olimpik kali ini dengan menduduki tangga ke-4 secara keseluruhan. Biarpun pulang tanpa sebarang pingat, namun kejayaan tersebut sememangnya merupakan satu pencapaian yang sangat besar dan diraikan ramai rakyat Malaysia. Juga tidak ketinggalan, tidak hanya aksi terjun hebat Dhabitah yang menangkap perhatian ramai, bahkan juga senyuman yang diukirnya di atas papan anjal setiap kali sebelum melakukan terjunan.
- Wartawan Malaysia turut menangis melihat Lee Hup Wei yang sebak kerana gagal di pusingan kelayakan
Momen ini sememangnya antara salah satu yang cukup menyentuh hati sehingga membuatkan ramai rakyat Malaysia turut sama menitiskan air mata. Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei menangis ketika siaran langsung temu ramah bersama Astro Arena. Sepanjang berlangsungnya sesi temu ramah itu, Lee Hup Wei yang jelas dilihat kecewa, terus-menerus mengucapkan kata-kata maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal melepasi pusingan kelayakan.
Situasi memilukan itu kemudian turut menyebabkan wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, yang menemu ramah beliau pada ketika itu turut sama menangis. “Hup Wei, saya mewakili rakyat Malaysia, 32 juta, thank you Hup Wei,” kata Bazly dalam nada sebak.
- Shah Firdaus jatuh bangkit semula!
Nama Shah Firdaus kini semakin meniti di bibir ramai gara-gara kehebatan yang ditayangkannya ketika beraksi dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020, di samping Datuk Azizulhasni Awang. Manakan tidak, Sabtu lalu, ketika berentap di pusingan kelayakan untuk mara ke peringkat suku akhir, Shah Firdaus terjatuh di velodrom Izu selepas berlanggar dengan pelumba Britain, Jack Carlin.
Bagaimanapun, pelumba basikal negara kelahiran Muar, Johor itu kemudian bertekad meneruskan saingan dalam kategori repechage dan berjaya menduduki tempat kedua, sekali gus melayakkannya mara ke suku akhir. Kejayaan tersebut kemudian membuatkan Shah trending di serata media sosial dengan rata-rata warganet mendefinisikan situasi tersebut sebagai ‘jatuh bangkit semula’.
Biarpun gagal di pusingan suku akhir di hari seterusnya, rakyat Malaysia kekal kagum dengan semangat Shah Firdaus yang tetap juga bertanding hingga ke akhir walau mengalami kecederaan.