Yuna Kini Tampil Dengan Extended Play 4-Trek Berjudul ‘Masih Yuna’

Penyanyi, Yuna, kini telah tampil dengan sebuah EP (extended play) berjudul ‘MASIH YUNA’ dengan 4-trek dalam Bahasa Melayu sepenuhnya buat peminat di Malaysia.

yuna kini tampil dengan extended play 4-trek berjudul ‘masih yuna’

Menerusi buah tangan terbaharu Yuna ini, peminat boleh menikmati pelbagai jenis lagu-lagu yang terkandung dalam EP seperti Menanti, Asing, Masih Sunyi dan Camaraderie, yang merupakan hasil ciptaan Yuna sendiri bersama barisan komposer antarabangsa berbakat dan diterbitkan oleh Yuna Music.

 

“Terlebih dahulu, syukur Alhamdulillah dengan sambutan memberangsangkan terhadap single Menanti oleh peminat-peminat saya, ramai yang sukakan lagu tersebut kerana maksudnya yang menyentuh jiwa seakan menjemput kembali sebuah memori silam dan juga emosi masa lalu,” kata Yuna.

yuna kini tampil dengan extended play 4-trek berjudul ‘masih yuna’

Enam tahun adalah tempoh yang agak lama buat peminat di Malaysia yang ternanti-nanti bila agaknya Yuna akan kembali menghasilkan karya-karya dalam Bahasa Melayu.

 

“Sejujurnya saya pun rindu hendak mencipta lagu Melayu, tetapi saya tahu kalau hanya satu mungkin tidak mencukupi, jadi saya hadiahkah empat kesemuanya sekaligus khas buat peminat.

“Sepanjang karier muzik saya, banyak komen yang saya terima daripada peminat bahawa saya sudah lupa diri, lupa dengan Malaysia, dan juga lupa kepada peminat-peminat di Malaysia.

“Namun, saya tidak ambil hati kerana itu semua tidak betul, saya masih Yuna yang anda kenal, bezanya selepas 10 tahun berada di Amerika Syarikat, banyak pengalaman yang saya timba. Album ini ibarat ‘surat cinta’ buat peminat di Malaysia setelah berkelana jauh di negeri orang,” kata Yuna lagi.

yuna kini tampil dengan extended play 4-trek berjudul ‘masih yuna’

Single Menanti yang telah dilancarkan pada 18 Mac lalu turut dihasilkan dengan sebuah video lirik yang menampilkan visual menarik menggamit emosi ‘sendu’ para penonton.

Lagu-lagu yang terkandung dalam EP MASIH YUNA boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

 

Manakala audio single dan video lirik EP tersebut boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Yuna.