Aplikasi video popular, YouTube kini sedang menjalankan ujian untuk menghentikan pengguna ad blocker daripada menonton video di platform mereka.
Menurut kenyataan dari YouTube kepada The Verge, mereka sedang menjalankan ujian ini di seluruh dunia, sambil meminta pengguna dengan ad blocker untuk mematikannya atau mencuba YouTube Premium sebagai alternatif.
Semasa ujian ini dibuat, jika anda menggunakan ad blocker dan menonton video di YouTube, mereka akan terus meminta anda untuk mematikannya.
Tetapi jika anda terus mengabaikannya, YouTube akan memberitahu anda bahawa anda tidak akan dapat menonton video selepas tiga video.
Untuk info, ad blocker adalah fungsi yang digunakan pengguna untuk menyekat sebarang iklan dimainkan. Ia boleh dipasang secara percuma menerusi plugin di browser atau aplikasi pada peranti telefon pintar masing-masing.
Seorang wakil dari Google bernama Oluwa Falodun menjelaskan dalam email kepada The Verge bahawa ini bukanlah perkara baru kerana laman web lain juga ada meminta pengguna untuk mematikan ad blocker.
Google mengambil perkara ini dengan serius dan hanya akan menghentikan anda daripada menonton jika anda terus mengabaikan permintaan mereka.
Namun, jika anda menganggap mereka membuat kesilapan dan anda sebenarnya tidak mempunyai ad blocker, anda boleh memberitahu mereka dengan mengklik pautan yang diberikan.
YouTube ingin anda sebagai pengguna tahu bahawa ad blocker adalah bertentangan dengan peraturan di YouTube. Mereka ingin memudahkan anda untuk membenarkan iklan atau mencuba YouTube Premium, yang berharga RM17.90 sebulan di Malaysia. Dengan YouTube Premium, pengguna boleh menonton video tanpa iklan, memainkan video di latar belakang, dan mendapatkan YouTube Music Premium.
Tahun lalu, YouTube menerima banyak aduan daripada pengguna apabila mereka menunjukkan ada lima iklan berturut-turut yang tidak boleh dilangkau.
Sumber: The Verge