Selepas beberapa hari Ketua Pengarah Kesihatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kebimbangannya tentang risiko pandemik yang lebih memautkan, kini muncul laporan mengenai wabak yang hanya disebut sebagai “Penyakit X”.
Istilah “Penyakit X” digunakan WHO merujuk kepada penyakit baharu dari sudut perubatan yang boleh mengancam populasi manusia.
“Penyakit X” boleh menjadi agen penyakit baharu, sama ada ia virus, bakteria, atau kulat, yang tidak mempunyai rawatan yang diketahui. WHO memperkenalkan istilah ini pada tahun 2018, dan setahun kemudian, Covid-19 mula merebak dengan cepat di seluruh dunia.
Pranab Chatterjee, seorang penyelidik di Jabatan Kesihatan Antarabangsa di Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins Bloomberg di Baltimore, menekankan, "Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa terdapat potensi Penyakit X boleh tercetus tidak lama lagi.”
Istilah "Penyakit X" telah mencetuskan perbincangan meluas di seluruh dunia, dengan ramai pakar meramalkan bahawa wabak seterusnya kemungkinan akan bersifat zoonotik, sama seperti Ebola dan Covid-19.
"Potensi patogen wabak yang direkabentuk dengan sengaja juga tidak boleh diabaikan," demikian amaran ditulis pakar seperti yang diterbitkan dalam jurnal Infection Control & Hospital Epidemiology pada tahun 2021.
Selain itu, antara penyakit lain yang berada dalam senarai WHO sebagai ‘penyakit keutamaan’ adalah seperti virus Marburg, demam hemoragik Krim-Kongo, demam Lassa, penyakit Nipah dan henipavirus, demam Lembah Rift, dan sindrom pernafasan Asia Barat (MERS Cov).
“Pandemik Covid-19 bukan wabak pertama yang mencetuskan huru-hara di seluruh dunia dan ia juga bukan yang terakhir. Justeru, kita perlu bersiap sedia untuk berdepan wabak baharu secepat mungkin,” kata pengarang-pengarang artikel berkenaan.
Sumber: NDTV