Salah satu kumpulan di Facebook, Edit Apa Hari Ni merupakan antara grup yang mempunyai ribuan ahli yang aktif setiap hari.
Grup yang membolehkan ahlinya memaparkan kreativiti masing-masing, telah mencuri tumpuan ramai dek kerana satu hantaran yang dibuat seorang isteri khas kepada suaminya yang istimewa.
.
Menurut Nor Aika Masor, suaminya Mohd Jafri Daud mempunyai keinginan untuk bergambar dengan sepasang tangan yang sempurna.
“Assalammualaikum. Suami minta edit gambar diletak tangan. Katanya teringin nak ada tangan,” ujar Aika sambil berkongsi foto suaminya berbaju melayu merah dengan bahagian siku ke bawah tanpa tangan.
Foto yang menyentuh hati ramai itu mendapat ribuan reaksi dan ratusan komen daripada pengguna Facebook.
Memetik laporan daripada Sinar Plus, Nor Aika berkata keadaan tangan suaminya itu adalah sejak daripada lahir lagi. Katanya, meskipun tidak sempurna fizikal, suaminya itu cukup istimewa di matanya dan ia tiada pada orang lain.
Pasangan ini juga telah berkahwin selama tiga tahun dan melakukan pelbagai kerja sebagai punca rezeki. Mohd Jafri yang memiliki kelulusan dalam bidang jahitan dari Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU (PLPP) Bangi menjahit, menjual pakaian terpakai dan juga membuka gerai burger di Kota Jembal, Kota Bahru, Kelantan.
Semoga pasangan ini bahagia hingga ke akhir hayat dan dipermudahkan segala urusan hidup.
Sumber: Sinar Plus / Facebook Edit Apa Hari Ni