Seorang pesakit warga emas meninggal dunia selepas dipercayai lambat menerima rawatan menuju ke sebuah pusat rawatan.
Lebih menyedihkan, wanita berusia 70 tahun itu telah dibawa dalam sebuah kotak kayu dengan menaiki motosikal melalui jalan yang terlampau teruk ketika dalam perjalanan ke pusat rawatan di Tanjung Aur, dekat Wilayah Bengkulu, Indonesia.
Malah, disebabkan perjalanan ke kampungnya terpaksa melalui jalan yang sukar, mayatnya dikebumikan di tanah perkuburan awam dekat Kampung Linau, yang nyata jauh dari perkampungannya.
Lokasi itu dipilih selepas mengambil kira kesukaran dihadapi si mati jika mahu ditanam di kawasan perumahannya kerana laluan berliku serta jarak yang jauh perlu dilalui.
"Pada ketika ini, ribuan penduduk Kampung Tanjung Aur berharap Presiden Jokowi mengambil alih pembinaan jalan tersebut agar tidak berlaku lagi kejadian serupa di masa hadapan," kata Ketua Kampung Tanjung Aur yang dikenali sebagai Supriyadi.
Terdahulu, insiden hampir serupa pernah berlaku pada November 2022 selepas seorang wanita hamil terpaksa bersalin di tengah jalan dalam perjalanannya ke hospital. Malangnya, anak yang dilahirkan itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Sumber: Media Indonesia