Seorang wanita sanggup berlapar dan hanya makan sekali seminggu, demi memberi makan kepada enam ekor kucing peliharaannya.
Yasemn Kaptan, yang juga seorang penganggur dan orang kelainan upaya (OKU) hanya makan sekali dalam seminggu kerana membelanjakan elaunnya berjumlah £69 (RM376.14) untuk membeli makanan kucing bernilai £60 (RM327.08).
Wanita yang berusia 46 tahun berasal dari Tottenham ini juga perlu membayar sewa rumah dan bil utiliti menggunakan wang faedah hilang upaya bulanan sebanyak £400 (RM2,180).
Disebabkan kekurangan wang, wanita itu hanya minum teh pudina, makan bawang dan salad untuk menahan lapar menyebabkan beliau hilang berat sebanyak 31.75 kilogram semata-mata bagi membeli makanan kucing. Beratnya kini menjadi 57kg daripada 88kg sebelum ini.
Tambah lagi, wanita itu yang sebelum ini bekerja, terpaksa meninggalkan pekerjaannya pada 2022 selepas disahkan menghidap osteoporosis. Beliau bagaimanapun enggan melepaskan kucing peliharannya kerana telah membesar bersama mereka sejak dari kecil.
Sumber: MSN