Pada 24 April lalu, seorang wanita warga Indonesia bernama Asiyah Sinta Hasibuan telah meninggal dunia selepas terjatuh di celah antara lif dan lantai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Medan, Indonesia.
Insiden tersebut telah dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan mayat mangsa ditemui tiga hari kemudian iaitu pada 27 April setelah beberapa hari proses mencarinya.
Mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan pulang apabila menerima panggilan daripada anak saudaranya yang terhalang masalah dokumen di lapangan terbang. Dia kemudian bergegas kembali ke lapangan terbang sambil menelefon anak saudaranya di dalam lif. Rakaman CCTV juga menunjukkan Asiyah memasuki sebuah lif dua pintu sebelum panik kerana pintu lif di hadapannya tidak terbuka. Mangsa bagaimanapun tidak menyedari bahawa pintu lif di belakangnya telah terbuka.
Namun apabila pintu di hadapannya terbuka, Asiyah segera keluar dari lif namun terjatuh ke dalam celah antara lif dan lantai.
Beberapa hari kemudian, anak saudaranya melaporkan kejadian tersebut kepada kakitangan lapangan terbang setelah gagal menghubungi Aisyah. Kakitangan lapangan terbang kemudian membantu mencari Asiyah dan menemui mayat mangsa setelah menghidu bau busuk di sekitar lif.
Insiden ini telah dilaporkan kepada Polis Sumatera Utara dan pihak berkuasa lapangan terbang yang turut membantu dalam siasatan. Kejadian ini menyedihkan dan menyedarkan kita bahawa keselamatan adalah perkara yang penting, dan kita perlu sentiasa berhati-hati ketika berada di tempat awam terutama apabila berurusan dengan lif.
Sumber: Youtube