Seorang wanita berusia 24 tahun menjadi mangsa korban kelima banjir di Johor, ditemui lemas dalam keretanya dekat Jalan Nitar Utama, Mersing.
Mangsa yang dikenali sebagai Tansharon, dipercayai terperangkap dalam kenderaan jenis Perodua Myvi dalam insiden banjir yang melanda Johor dan berjaya dikeluarkan kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata kereta itu dipandu mangsa disyaki terbabas ke tebing jalan sebelum ditenggelami air sejak 6.45 pagi hari kejadian.
"Kerja-kerja membawa naik kereta mangsa dijalankan sejak 6.55 petang tadi, sejurus kenderaan jenis Perodua Myvi itu berjaya dijumpai sekitar 15-meter dari jarak mangsa dilaporkan hilang.
"Usaha mengesan kedudukan mangsa dilakukan oleh pasukan penyelamat di air (PPDA), manakala operasi mengangkat kenderaan tersebut berjaya dilakukan dengan bantuan peralatan menyelamat VRS," katanya.
Tambah lagi, ketika kejadian paras air di jalan raya lebih kurang tiga kaki manakala kedalaman cerun dikawasan tersebut adalah 20 kaki.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Astro AWANI