China baru-baru ini melaporkan jangkitan dan kematian manusia pertama yang disebabkan oleh ‘Monkey B Virus’ (BV).
Menurut laporan, mangsa seorang pakar bedah veterinar yang berpusat di Beijing didapati dijangkiti virus itu setelah membedah dua monyet mati pada bulan Mac. Doktor haiwan berusia 53 tahun itu pada mulanya mengalami loya dan muntah. Sebulan kemudian, beliau dilaporkan telah demam, dan mengunjungi beberapa hospital namun akhirnya meninggal pada 27 Mei lalu.
Setakat ini, masih belum ada laporan yang menunjukkan wujudnya penularan virus BV dari manusia ke manusia dan pengesanan kontak rapat mangsa juga menunjukkan hasil negatif.
Virus Monkey B lazimnya terdapat di antara monyet dan ia banyak terkandung di dalam air liur, najis, air kencing, otak atau tisu saraf tunjang spesis berkenaan. Virus ini juga dapat bertahan di permukaan selama berjam-jam, terutama dalam keadaan lembap.
Risiko penularan virus ini untuk populasi umum buat masa ini adalah sangat rendah. Tetapi pekerja makmal, doktor haiwan dan lain-lain yang terlibat dalam penjagaan haiwan yang melibatkan monyet adalah berisiko tinggi.
Sama seperti COVID-19, virus Monkey B boleh menunjukkan gejala seperti selesema, demam, sakit otot, menggigil, keletihan, dan sakit kepala. Gejala serius lain adalah termasuk sesak nafas, mual, muntah, sakit perut, dan sedu.
Apabila penyakit itu menjadi parah, seseorang yang dijangkiti mungkin mengalami reaksi teruk seperti pembengkakan otak dan saraf tunjang. Ini mengakibatkan gangguan neurologi dan menyebabkan keradangan, yang seterusnya mencetuskan masalah koordinasi otot dan potensi kerosakan otak.
Virus Monyet B pada mulanya ditemui pada tahun 1932 pada spesis kera. Menurut China CDC Weekly, virus ini biasanya disebarkan melalui kontak rapat dan pertukaran cairan tubuh. Sekiranya virus menjangkiti dari monyet ke manusia, kadar kematian dianggarkan antara 70-80%. Perpustakaan Perubatan Nasional AS mendakwa bahawa Virus Monyet B dapat menyerang sistem saraf individu itu jika ia disebarkan kepada manusia. Menurut CDC, seseorang yang menghidap Virus Monyet B akan menunjukkan simptom antara satu hari hingga tiga minggu selepas dijangkiti.
Buat masa ini, tidak ada vaksin yang dapat digunakan untuk melawan Virus Monkey B. Hanya ubat antiviral yang tepat digunakan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus itu kepada mereka yang dijangkiti.
Dalam perkembangan lain, wabak Norovirus pula dilaporkan sedang menular di Britain, yang mana menyebabkan mangsa mengalami muntah-muntah, cirit-birit, suhu badan meningkat, sakit pada bahagian perut dan sakit badan.
Sumber: India.com