Dua kes pertama yang disahkan oleh sekumpulan saintis di universiti Miami mendedahkan yang mana virus COVID-19 melintasi plasenta ibu dan menyebabkan kerosakan pada otak bayi yang dikandung.
Sebelum ini doktor mengesyaki perkara itu mungkin boleh berlaku tetapi tiada bukti menunjukkan virus berkenaan dalam plasenta ibu atau otak bayi.
Menurut kajian, bayi-bayi itu dilahirkan oleh ibu muda yang diuji positif COVID-19 semasa trimester kedua mereka pada kemuncak gelombang varian Delta pada tahun 2020 iaitu sebelum vaksin tersedia.
Beberapa virus diketahui mampu melintasi plasenta dan menyebabkan kerosakan otak janin seperti virus Cytomegalovirus, Rubella, HIV dan Zika.
Kajian itu mendedahkan virus COVID-19 juga dikesan dalam tisu otak dewasa dan beberapa pakar mengesyaki ia juga boleh merosakan tisu otak janin.
Bayi yang terkesan dengan virus ini ketika dalam kandungan boleh mengalami sawan dari hari pertama dilahirkan dan mengalami kelewatan perkembangan yang amat teruk. Malah, salah seorang bayi itu juga meninggal dunia pada usia 13 bulan dan seorang lagi kini dalam penjagaan rapi hospital.
Menurut Pakar Neonatologi dan penolong Profesor Pediatrik di Universiti Miami, Dr Merline Benny berkata, kedua-dua bayi itu tidak diuji positif untuk virus COVID-19 tetapi mereka mempunyai tahap antibodi COVID-19 yang tinggi dalam darah mereka.
Beliau berkata, itu menunjukkan virus itu merentas daripada ibu melalui plasenta dan kepada bayi.
Ekoran itu, wanita yang mempertimbangkan kehamilan dan mereka yang sedang hamil diseru untuk mendapatkan vaksin terhadap COVID-19.
Sumber: Astro AWANI