Ketika dunia masih lagi ‘berperang’ dengan virus COVID-19, kini terdapat satu lagi virus yang mampu menjangkiti manusia ditemui di Jepun iaitu virus Yezo.
Penemuan virus terbabit dibuat oleh sekumpulan penyelidik dari Univesiti Hokkaido, telah diterbitkan dalam jurnal Nature Communications pada September.
Virus Yezo, dilabel sebagai YEZV, yang mampu disebarkan melalui bawaan kutu, pertama kali dicatatkan di Jepun pada tahun 2019 pada seorang lelaki berusia 41 tahun yang dimasukkan ke hospital dengan demam dan sakit kaki setelah mengalami gigitan kutu semasa berada di hutan di pulau Jepun di Hokkaido.
Lelaki itu yang berjaya keluar dari hospital setelah menjalani rawatan selama dua minggu, diuji negatif untuk semua virus bawaan yang diketahui pada masa itu. Penyelidik dari Universiti Hokkaido, termasuk Dr. Keita Matsuno, ahli virologi di Institut Antarabangsa Kawalan Zoonosis, kemudiannya menganalisis sampel darah pesakit dan menemui virus baru terbabit.
Virus baru itu menjadi sebahagian daripada keluarga 15 spesies yang disebut 'nairovirus', empat daripadanya boleh menyebabkan jangkitan penyakit pada manusia.
Virus Yezo ini dilaporkan boleh menyebabkan suhu pesakit mencecah setinggi 39 darjah Celsius, selain boleh mengurangkan jumlah platelet darah dan sel darah putih, yang berfungsi melindungi tubuh manusia dari agen berjangkit seperti bakteria dan virus.
Para penyelidik kemudian menganalisis sampel darah beberapa pesakit lain dengan gejala serupa mulai tahun 2014.
"Sekurang-kurangnya tujuh orang telah dijangkiti virus baru ini di Jepun sejak 2014, tetapi, setakat ini belum ada kematian yang disahkan," kata Matsuno.
Para saintis kemudian berusaha untuk mengetahui sumber virus tersebut, mendapati bahawa RNA virus Yezo terdapat pada tiga spesies kutu yang hidup di seluruh kawasan utara pulau Jepun.
Antibodi terhadap virus juga dijumpai pada rusa dan rakun yang menghuni kawasan tersebut. Kini para penyelidik sedang mengesan potensi penyebaran virus terbabit di seluruh negara pada manusia dan juga haiwan.
"Semua kes jangkitan virus Yezo yang kita ketahui setakat ini tidak menyebabkan kematian, tetapi besar kemungkinan penyakit ini sudah merebak keluar dari Hokkaido, jadi kita perlu segera menyiasat penyebarannya," kata mereka.
Baca kajian penuh disini: A novel nairovirus associated with acute febrile illness in Hokkaido, Japan