Baru-baru ini, tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki mencelupkan sayur yang hampir layu ke dalam cecair yang tidak diketahui dan secara tiba-tiba sayur itu kembali segar.
Video yang tular itu telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat khasnya di negara ini, yang khuatir jika ia mengandungi bahan kimia berbahaya. Malah ada yang mendakwa ia berlaku di Pasar Selayang, Selangor.
Bagaimanapun Jabatan Pertanian mengesahkan kejadian itu bukanlah berlaku di Pasar Selayang, sebaliknya ia terjadi di luar negara.
Jabatan itu mengesahkan perkara tersebut berdasarkan bahasa yang digunakan dan nombor pendaftaran motosikal dalam video berkenaan.
Siasatan Jabatan Pertanian mendapati video asal berkenaan telah dimuat naik dalam saluran YouTube pada 23 Julai 2021 oleh saluran Telugu di bawah nama Mana Family Trends.
Video berdurasi 45 saat yang tular menunjukkan seorang lelaki mencelup sayur dalam satu larutan hingga boleh menyegarkan kembali sayuran berdaun yang layu.
Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah terpengaruh atau berkongsi mana-mana video yang tidak ditentusahkan, hingga boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat.
Sumber: Astro AWANI / Youtube