Sejak semalam, tular video yang menunjukkan seorang anggota polis trafik Kuala Lumpur meletakkan motosikal milik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di parkir Orang Kelainan Upaya (OKU) di Apartmen Flora Damansara.
Video yang dimuatnaik di Twitter itu kemudian telah mendapat perhatian Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid yang kemudiannya mengeluarkan saman oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Petaling Jaya.
"Gambar tersebut telah dimuat naik oleh pemilik akaun @nanmanjoi8715 dalam halaman Twitter memaparkan sebuah motosikal jenis Honda ST 1300 milik Cawangan Motoked Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur telah diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan OKU di Apartment Flora damansara," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, pihak polis turut mengingatkan agar semua pengguna jalan raya patuh kepada undang-undang dan arahan papan tanda jalan, tanpa mengira pangkat mahupun jawatan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya termasuk agensi penguat kuasa yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang,” demikian menurut Fakhrudin.
Terdahulu, video yang tular memaparkan motosikal milik anggota berkenaan telah dikunci pada bahagian tayar hadapan, sebelum seorang pengawal keselamatan kediaman itu membuka kunci sekitar jam 11.30 pagi, Isnin lalu.
Anggota itu kemudian beredar selepas kunci motosikalnya dibuka.
Sumber: Astro AWANI