Satu kajian awal terhadap kes jangkitan COVID-19 varian Delta mendapati varian itu boleh membiak dalam hidung individu yang sudah divaksinasi seolah-olah dia belum mendapatkan vaksin.
Perkara itu turut dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang mendapati varian Delta COVID-19 kini lebih ganas dan mudah menular dalam tempoh lima hingga 15 saat melalui udara.
“Virus yang membiak itu sama kadar jangkitannya terhadap orang yang tidak divaksinasi, yang bermaksud orang yang sudah divaksin dapat menyebarkan virus itu dan menjangkiti orang lain.
“Sebelum ini beberapa kajian yang dijalankan di hospital di India, Provincetown, Massachusetts dan Finland juga turut mendapati selepas penularan varian Delta, terdapat banyak virus dikesan di dalam hidung seseorang indvidu itu sama ada mereka diberi vaksin atau tidak,” ujar Dr Noor Hisham menerusi perkongsian di Facebook.
Meskipun terdapat kemungkinan varian Delta ini menjangkiti orang lain, mereka yang sudah divaksin dilaporkan terlindung daripada gejala yang lebih teruk termasuk kematian, dan mengurangkan risiko kemasukan pesakit ke hospital serta penggunaan ICU.
Justeru beliau turut berharap semua orang segera mengambil suntikan vaksin COVID-19 demi mengurangkan risiko yang tinggi terhadap jangkitan varian Delta itu.
Sumber: [1]