Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang pernah dimansuhkan pada 2021 dan 2022, tidak akan dikembalikan buat masa ini.
Demikian menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying yang memaklumkan kementeriannya kini sedang memberi pendekatan yang lebih holistik terhadap pembangunan pelajar.
Ujarnya, model pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dan pentaksiran berasaskan bilik darjah (PBD) adalah pendekatan yang lebih holistik dalam membangunkan potensi murid secara menyeluruh.
"Adakah UPSR dan PT3 akan dikembalikan, buat sementara ini KPM memang beri fokus kepada perkembangan murid secara holistik.
"Jadi pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dan pentaksiran berasaskan bilik darjah (PBD) memberi ruang dan peluang untuk membangunkan potensi murid secara menyeluruh dan dilaksanakan secara berterusan.
"Jadi pada masa sekarang kita tidak akan kembalikan UPSR dan PT3," katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta ibu bapa memberi ruang dan kepercayaan kepada pelaksanaan sistem PBS iaitu penilaian bersifat holistik untuk mengetengahkan potensi diri murid yang tidak hanya berpandukan pencapaian peperiksaan akademik semata-mata.
Fadhlina berkata sistem pendidikan negara sebelum ini dilihat terlalu berorientasikan kepada peperiksaan akademik adalah bersifat 'high stake' yang memberi tekanan kepada murid serta guru.
Terdapat laporan sebelum ini yang majoriti ibu dan bapa menuntut agar kementerian mengembalikan semula UPSR dan PT3 sebagai penanda aras kepada pencapaian akademik para pelajar.
Sumber: Astro AWANI