Bekalan air yang mencukupi dan berkualiti adalah asas yang penting untuk kehidupan manusia.
Namun, di beberapa kawasan khasnya di negara ini, terdapat masalah yang berkaitan dengan bekalan air yang boleh memberi impak serius kepada kehidupan harian penduduk.
Masalah gangguan bekalan air boleh menyebabkan mesin penapis air menjadi kering lalu mengakibatkan kemungkinan berlakunya litar pintas.
Perkara ini dimaklumkan oleh Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis yang berkata, ketiadaan air boleh menyebabkan mesin penapis air tidak dapat beroperasi dengan sempurna.
“Kita berharap masyarakat tidak cuai dalam tempoh ini kerana sesuatu proses pemadaman seperti rumah kelas satu memerlukan sehingga 3,000 liter air untuk tujuan pemadaman.
“Namun dibimbangkan sekiranya berlaku kebakaran melibatkan deretan rumah berdekatan atau setinggan yang mungkin menggunakan air yang lebih banyak,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (Fire & Rescue Department of Malaysia) pernah berkongsi foto kejadian kebakaran yang berlaku akibat daripada litar pintas oleh mesin penapis air.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu hantaran turut menasihatkan orang ramai supaya mematikan suis penapis air, khasnya bagi mereka yang berdepan dengan gangguan bekalan air.
“Matikan suis mesin penapis air khususnya bagi penduduk di kawasan yang berhadapan gangguan bekalan air.
“Ketiadaan air menyebabkan mesin tersebut tidak dapat beroperasi dengan sempurna,” demikian menurut MKN.
Dalam perkembangan lain, Air Selangor memaklumkan terdapat 99 kawasan di Lembah Klang yang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 22 Mei 2023.
Sumber: MKN